MAGUIRE mengalami kecederaan hamstring. FOTO AP
MAGUIRE mengalami kecederaan hamstring. FOTO AP
Agensi

London: Harry Maguire direhatkan untuk aksi tetangga Manchester akibat kecederaan hamstring, menurut pengendali Manchester United, Erik ten Hag.

Pemain pertahanan berusia 29 tahun itu tercicir daripada kesebelasan utama sejak beberapa minggu kebelakangan, dengan Ten Hag memilih untuk menggandingkan Lisandro Martinez dan Raphael Varane di posisi bek tengah.

Pengguguran Maguire menyaksikan skuad The Red Devils bangkit daripada dua kekalahan pertama Liga Perdana Inggeris musim ini dengan merakam empat kemenangan berturut-turut.

Ten Hag sekali lagi terselamat daripada dilema sama ada mahu menurunkan kapten United itu atau tidak apabila menentang juara bertahan, Man City, memandangkan Maguire cedera.

Bagaimanapun pengendali dari Belanda itu yakin Maguire akan kembali mendapat prestasi terbaiknya di Old Trafford.

"Pertama sekali, sudah tentu saya perlu melatihnya (Maguire), saya perlu menyokongnya kerana percaya kepada kemampuannya.

"Sepanjang saya bekerja dengannya ketika pra-musim, dia amat bagus, dalam latihan dan perlawanan, kemudian dia mula tercicir tetapi ia juga disebabkan prestasi bek tengah yang beraksi sekarang.

"Walaupun selepas tercicir, dia masih berlatih dengan baik dan kualitinya masih ada. Anda lihat kariernya, untuk Leicester dan Manchester United, hampir 50 kap untuk England, beraksi dengan baik. Dia berpotensi tinggi.

"Dalam bilik persalinan, jurulatih, pemain-pemain, yakin dengannya. Itu yang saya katakan kepadanya, saya pasti dia mampu melakukannya iaitu bangkit semula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Oktober 2022 @ 7:03 PM