PAN-gon sudah menganalisis dan memberi maklumat serta perancangan untuk menghadapi Tajikistan. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
PAN-gon sudah menganalisis dan memberi maklumat serta perancangan untuk menghadapi Tajikistan. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pengendali negara, Kim Pan-gon akui Tajikistan bukanlah lawan mudah berdasarkan corak permainan fizikal yang bakal diperagakan pasukan itu.

Seperti kebanyakan gaya permainan pasukan dari Asia Tengah dan Asia Barat, tidak banyak perbezaan ditunjukkan Tajikistan dengan beliau dan barisan kejurulatihannya sudah mempunyai formula untuk mengatasi lawan di pentas final Piala Raja Thai malam esok.

"Seperti pasukan dari Asia Tengah yang bermain secara fizikal, begitu juga apa yang dipamerkan Tajikistan.

"Kita sudah menganalisis dan memberi maklumat serta perancangan untuk menghadapi aksi itu nanti. Saya harap pemain dapat beraksi sebaik mungkin dan mengikut perancangan ditetapkan," katanya pada sidang media menjelang aksi final di Stadium 700th Anniversary, di Chiang Mai, Thailand malam esok.

Katanya lagi, misi pasukan bukan sekadar mahu memburu Piala Raja Thai tetapi lebih daripada itu.

Menurut jurulatih dari Korea Selatan itu, beliau mahu melihat karektor dan sikap pemain dalam menangani tekanan beraksi di pentas final itu.

"Ia akan jadi pencapaian yang baik selepas 44 tahun Malaysia kali terakhir menang Piala Raja Thai, kami sedia untuk bertemu Tajikistan dan saya akui lawan juga sebuah pasukan yang kuat.

"Tapi kami juga layak berada di final, namun saya bukan hanya memburu trofi tetapi kami mahu melihat tahap permainan pasukan di tahap ini, seperti menangani tekanan final yang pastinya bukan mudah.

"Kami mahu tunjukkan semangat melawan kepada penyokong bola sepak Malaysia, sambil berbangga dengan pasukan. Kami akan cuba sebaik mungkin," katanya.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia menang Piala Raja Thai adalah pada 1978.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2022 @ 4:39 PM