AZAM Azmi akan berikan aksi yang terbaik jika diturunkan sekali lagi. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
AZAM Azmi akan berikan aksi yang terbaik jika diturunkan sekali lagi. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Tonggak pertahanan muda negara, Azam Azmi Murad sedia memperkuatkan pasukan menjelang aksi final Piala Raja Thai dengan menentang Tajikistan di Stadium 700th Anniversary, di Chiang Mai, Thailand malam esok.

Ujarnya, jika dia diberi peluang untuk perlawanan itu nanti, dia akan bermain dengan lebih baik selepas diturunkan sebagai pemain gantian ketika bertemu Thailand Khamis lalu, yang menyaksikan skuad Harimau Malaya menang 5-3 menerusi penentuan penalti selepas terikat 1-1 dalam masa sebenar.

"Bagi penampilan pertama, saya gembira diberikan peluang oleh jurulatih dan saya bersyukur ia dapat membantu meraih kemenangan pasukan.

"InsyaAllah, kalau diberikan peluang saya akan berikan aksi yang terbaik dan bermain dengan elok," kata pemain skuad bawah 23 tahun negara itu.

Untuk rekod, kali terakhir skuad negara memenangi Piala Raja Thailand adalah pada edisi 1978 lalu dengan menewaskan Singapura 3-2 pada aksi final di Bangkok.

Bagi seorang lagi pemain baharu dalam pasukan negara, Declan Lambert, dia mengakui gembira dan berbangga dapat merakam penampilan pertamanya ketika berdepan skuad Gajah Perang Khamis lalu.

"Memang saya agak gugup apabila diturunkan, tetapi dalam masa sama saya gembira mendapat penampilan pertama bersama Harimau Malaya.

"Apa pun, saya terharu kerana diberikan kepercayaan untuk beraksi walaupun hanya untuk tempoh 10 minit.

"Diharapkan aksi final kali ini akan berpihak kepada skuad negara dalam usaha menamatkan penantian selama 44 tahun untuk memenangi semula piala ini," kata pemain kacukan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2022 @ 3:52 PM