HEUNG Min meraikan jaringan ke-100 di EPL. FOTO AFP
HEUNG Min meraikan jaringan ke-100 di EPL. FOTO AFP
AFP

London: Son Heung-min menghadiahkan gol bersejarahnya ketika kemenangan 2-1 Tottenham menentang Brighton kepada mendiang datuknya selepas bintang Korea Selatan itu menjadi pemain Asia pertama menjaringkan 100 gol dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Heung-min melengkapkan jaringan ke-100 dengan penuh bergaya apabila melakukan rembatan lencong untuk meletakkan Tottenham di depan pada separuh masa pertama di utara London.

Selepas jaringan penyamaan Lewis Dunk, jaringan kemenangan minit ke-79 Harry Kane memastikan kemenangan buat Spurs yang kekal dalam pemburuan kelayakan ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

Ia adalah pencapaian membanggakan buat Heung-min, 30, yang mengharungi musim sukar dengan prestasi kurang konsisten dan beberapa kali tercicir daripada kesebelasan utama, selain kematian datuknya baru-baru ini.

"Ini sesuatu yang saya impikan. Ia pencapaian menakjubkan yang pasti saya tidak mampu lakukan tanpa bantuan rakan sepasukan.

"Menjaringkan 100 gol di Liga Perdana Inggeris adalah sesuatu yang cukup besar. Ia amat beremosi buat saya kerana saya mengharungi saat sukar sejak beberapa minggu lalu. Datuk saya meninggal dunia dan ia bukan sesuatu yang mudah. Saya hadiahkan gol ini kepadanya.

"Saya harap semua pemain Asia, terutama dari Korea Selatan, lihat pencapaian ini dan percaya diri yang mereka juga mampu melakukannya,"

"Ia satu perkara yang baik untuk Asia dan saya memikul tanggungjawab besar untuk menjadi contoh yang baik untuk membantu pemain muda. Saya mahu mereka percaya seorang pemain Asia boleh melakukan perkara yang menakjubkan dalam EPL," kata Heung-min.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2023 @ 10:13 AM