PENYOKONG TFC bersiap sebelum memulakan perjalanan ke Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO GHAZALI KORI
PENYOKONG TFC bersiap sebelum memulakan perjalanan ke Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Penyokong Terengganu FC (TFC) meletakkan harapan tinggi agar pengadil final Piala Malaysia antara Terengganu FC (TFC) dengan Johor Darul Ta'zim (JDT), malam esok dapat menjalankan tugas dengan baik.

Peminat setia skuad Penyu mengharapkan pengadil tidak berat sebelah ketika membuat keputusan bagi mengelak kerancakan perlawanan terganggu, seterusnya boleh mengundang perkara tidak sihat.

Seorang penyokong tegar TFC, Muda Mat Ali, 62, berkata, penyokong kedua-dua pasukan sudah pasti mahu melihat mutu perlawanan menarik tanpa dicemari sebarang insiden tidak sepatutnya.

Katanya, tambahan pula penyokong dari pelbagai daerah hadir dengan kos tinggi untuk sampai ke Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Kami boleh terima apa jua keputusan sama ada kalah atau menang kerana itu adalah adat pertandingan.

"Namun, kami mahu menyaksikan perlawanan berkualiti dan bukannya 'membunuh' permainan.

"Kami sedar tanpa teknologi VAR (video bantuan pengadil), tugas lebih berat sudah pasti menanti pegawai perlawanan terutama perlawanan akhir dengan ribuan penyokong bakal membanjiri stadium.

"Tapi sebagai peminat setia yang datang dari jauh, sudah pasti mengharapkan pengadil tidak berat sebelah," katanya ketika ditemui bersama hampir 150 penyokong TFC dari Kampung Wakaf Dua Bukit Payung, Marang yang bertolak ke ibu negara, malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 9:58 PM