SUBKHIDDIN  Salleh.
SUBKHIDDIN Salleh.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh menasihati barisan kepimpinan pasukan Liga Malaysia bersabar dan tidak bertindak melulu jika tidak berpuas hati terhadap keputusan pengadil.

Subkhiddin berkata, situasi terbabit boleh memberi peluang dan ruang kepada 'musuh' untuk menggunakan isu berkenaan bagi menjatuhkan mereka kelak.

Menurut beliau, pengurusan dan kepimpinan tertinggi pasukan seharusnya menjaga tingkah laku dan percakapan iaitu perlu bersabar bagi mengelak keadaan bertambah buruk.

"Nasihat saya kepada ketua pegawai eksekutif berkenaan supaya jangan terbabit dengan isu terbabit kerana mungkin orang lain akan simpan dan gunakan untuk menjatuhkannya.

"Saya faham, beliau bawa pasukan yang penuh dengan cabaran namun tidak mahu sedikit isu akan merosakkannya kelak.

"Pasti nanti ada orang akan 'jolok' supaya dikenakan tindakan. Nasihat saya adalah kita perlu bersabar dengan isu terbabit," katanya.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon nyata tidak mampu menahan marah kepada pengadil perlawanan, Zulkarnain Zakaria yang menghadiahkan sepakan penalti kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), baru-baru ini.

Dalam aksi itu, Selangor dan JDT hanya berpuas hati memungut satu mata selepas kedua-dua pasukan seri 1-1, dengan gol pelawat diraih menerusi penalti yang diberikan Zulkarnain kepada JDT di babak pertama.

Ia kemudian disempurkan Bergson da Silva di minit ke-33 untuk mendahului skuad Red Giants, sebelum anak didik Nidzam Jamil bangkit di babak kedua dengan ledakan Herlison Caion di minit 65.

Dalam satu video tular di laman sosial menyaksikan Johan mempersoalkan tindakan Zulkarnain yang ditemuinya di tempat letak kenderaan selepas perlawanan itu.

Tindakan Johan itu pastinya meletakkan dirinya dalam situasi sukar apabila boleh dikenakan hukuman oleh FAM kerana tidak menggunakan saluran yang betul mempersoalkan kredibiliti pengadil perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2022 @ 3:59 PM