NURSHAMIL Abd Ghani (kanan)  diasak pemain JDT II, Chia Hua Han. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
NURSHAMIL Abd Ghani (kanan) diasak pemain JDT II, Chia Hua Han. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Syafiq Aznan

Kuala Lumpur: Aksi Liga Perdana antara Kelantan FC menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) II yang berkesudahan dengan keputusan 1-1 di Stadium Sultan Muhammad IV semalam 'panas' sehingga tular di laman media sosial.

Bukan masa tambahan 13 minit yang menjadi persoalan tetapi insiden pada minit ke-71 mencetuskan perdebatan dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan khususnya penyokong skuad The Red Warriors (TRW).

Berdasarkan klip video yang tular membabitkan insiden terbabit, penyerang import TRW, Kervens Bilfort dikasari pemain JDT II, Mohd Feroz Baharuddin dan bola 'bergolek' sebelum berjaya dikejar pemain Kelantan FC, Syed Sobri Syed Mohd.

Namun, ketika Syed Sobri sudahpun mendapatkan bola dan cuba melancarkan serangan, pengadil perlawanan, Muhammad Nasruddin Muhammad Tamrin meniup wisel dan situasi itu membuatkan bangku simpanan Kelantan FC 'meletup'.

Beberapa pemain dan pegawai Kelantan FC menyerbu ke arah pembantu pengadil dan menuntut penjelasan atas keputusan pengadil yang meniup wisel sekali gus mematikan peluang Kelantan FC untuk memburu gol kedua.

Ketika diminta mengulas mengenai insiden itu, bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh menjelaskan pengadil seharusnya meneruskan permainan terbabit.

'Advantage' yang sangat baik jelas dapat dilihat dan perlu dilaksanakan untuk pasukan penyerang supaya mereka dapat meneruskan pergerakan serangan.

"Saya juga sedikit 'sangsi' semasa bola diterima oleh pemain penyerang, kelihatan seperti dimainkan dengan tangan tetapi 'video-evidence' tidak jelas untuk menghukum kesalahan terhadap pemain penyerang.

"Sama ada beliau menerima bola dengan tangan terlebih dahulu ataupun pemain pertahanan melakukan kesalahan terlebih dahulu sebelum bola mengenai tangannya, 'on field decision' oleh pengadil perlulah dihormati.

"Bagaimanapun dari sudut pengurusan perlawanan, pengadil seharusnya lebih bersabar dan meneruskan permainan kerana kelebihan untuk menjaringkan gol memihak kepada pasukan yang tidak melakukan kesalahan .

"Kecederaan dialami oleh rakan sepasukan pemain penyerang bukanlah serius seperti ditanduk (headbutted), luka parah dan sepertinya yang benar-benar serius dan memerlukan pemberhentian permainan dengan segera.

"Pada akhirnya saya dapati pengadil memulakan semula permainan selepas 'pemberhentian sementara yang panjang' dengan sepakan percuma terus yang diberikan kepada pasukan penyerang.

"Ini bermaksud pemain penyerang tidak melakukan sebarang kesalahan sebaliknya kesalahan dilakukan oleh pemain pertahanan, maka oleh itu saya berpendapat pengadil seharusnya lebih bijak untuk memberikan 'advantage' kepada pasukan penyerang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Julai 2022 @ 3:41 PM