NAFUZI belum menerima tawaran daripada Selangor FC. -FOTO Malik Muhamad
NAFUZI belum menerima tawaran daripada Selangor FC. -FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain menafikan beliau menerima tawaran daripada pasukan Selangor FC dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim depan sebagaimana spekulasi dalam laman sosial.

Malah jurulatih berusia 44 tahun itu juga turut mendedahkan beliau belum lagi menandatangani kontrak lanjutan bersama skuad Penyu musim depan.

Bagaimanapun pengendali kelahiran Kelantan itu menjelaskan sebagai jurulatih profesional, beliau terbuka menerima mana-mana pihak yang ingin berbincang dengannya berhubung kontrak kerana itu adalah normal.

Namun buat masa ini fokusnya lebih terarah membantu TFC menamatkan saingan Liga Super sekurang-kurangnya di kedudukan ketiga terbaik dan paling penting mengintai kejuaraan dalam aksi final Piala FA menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 10 September depan di Stadium Nasional Bukit Jalil selain saingan Piala Malaysia.

"Saya tersangat ok, spekulasi berkenaan tidak pun menjejaskan persiapan pasukan kerana setakat ini saya belum menerima apa-apa tawaran daripada TFC dan belum lagi menandatangani kontrak.

"Khabar mengaitkan saya ke Selangor FC musim depan, itu semua adalah 'rumours' ( khabar angin), sebab dalam dunia bola sepak ia asam garam sebagai jurulatih mahupun pemain.

"Bagaimanapun ia satu penghargaan buat saya walaupun perkara itu (tawaran Selangor FC) tidak ada," ujar Nafuzi.

Dalam pada itu, Nafuzi akui tidak menduga pendirian pemain sayap, Mohd Faisal Halim yang mahu kekal bersama TFC musim ini jika beliau ada dalam perancangan skuad dari Pantai Timur itu.

"Itu pandangan peribadi dia (Faisal) sebagai seorang pemain. Saya sebagai jurulatih pula sudah pasti sangat hargai apabila dia berkongsi perkara berkenaan, maknanya dia selesa dan suka dengan corak kendalian saya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Ogos 2022 @ 12:52 PM