PEMAIN UiTM meraikan kemenangan bersama piala dan pingat yang dimenangi.
PEMAIN UiTM meraikan kemenangan bersama piala dan pingat yang dimenangi.

Kuala Terengganu: Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam menjuarai Piala Sumbangsih Liga IPT 2016 selepas menewaskan tuan rumah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) 2-1 di padang Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Nerus, kelmarin.

Kekalahan UniSZA yang juga juara Divisyen 1 Liga IPT musim lalu jelas menghampakan jurulatihnya Zulharisam Awang yang mengharapkan kejayaan pertama dalam saingan piala itu.

Pada aksi malam kelmarin, pelawat yang menjuarai Piala Menteri Pendidikan Tinggi musim lalu, membuka tirai jaringan pada minit kedua menerusi penyerang Fakrurazi Mat Lazin berikutan sepakan percuma.

Tersentak jaringan itu anak buah bekas pemain pertahanan Terengganu itu mula mencipta beberapa gerakan menarik ke kubu pelawat untuk menyamakan kedudukan namun kerap dikecewakan pemain pertahanan skuad kendalian Shahidan Rusly.

Pada pertengahan babak pertama, tuan rumah melepaskan peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan namun Syafie Rahman gagal memanfaatkan peluang terhidang itu walaupun hanya berdepan penjaga gol.

Seminit sebelum wisel babak pertama ditiupkan usaha berterusan barisan penyerang UniSZA akhirnya membuahkan hasil apabila dihadiahkan sepakan penalti dan Aiman Amran berjaya menyempurnakannya untuk gol penyamaan.

Bersambung babak kedua, aksi yang diperagakan kedua-dua pasukan semakin bertenaga dengan beberapa peluang menarik dihasilkan namun buntu menambah jaringan.

Pada minit ke-56, Fakrurazi muncul wira UiTM apabila meledak gol kedua peribadi dan pasukannya untuk meraih kemenangan sekali gus membawa pulang Piala Sumbangsih.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Setiausaha Bahagian Sukan Kementerian Pendidikan Tinggi Hazally Jali. Turut hadir Pendaftar UniSZA, Prof Madya Nordin Jusoh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2016 @ 9:57 AM