CONTE (kanan) dan Tuchel bertikam lidah. FOTO AFP
CONTE (kanan) dan Tuchel bertikam lidah. FOTO AFP
AFP

London: Thomas Tuchel digantung satu perlawanan dan didenda £35,000 (RM185,000) selepas pengurus Chelsea itu dibuang padang kerana bergaduh dengan bos Tottenham, Antonio Conte, kata Persatuan Bola Sepak (FA) England.

Hukuman penggantungan ke atas Tuchel ditangguhkan seketika sementara menunggu laporan bertulis penuh untuk keputusan itu sekali gus menyaksikan pengendali dari Jerman itu boleh hadir pada pertemuan dengan Leeds, esok.

Conte didenda £15,000 (RM79,400) selepas kedua-dua pengurus mengakui berkelakuan tidak sepatutnya ketika insiden tegang itu selepas perlawanan berakhir dengan keputusan seri 2-2 di Stamford Bridge.

Tuchel dan Conte dilayangkan kad kuning selepas mereka bertikam lidah antara satu sama lain apabila pengendali dari Itali itu meraikan gol penyamaan Pierre-Emile Hojbjerg berhampiran kawasan Chelsea.

Kemudian, Harry Kane menanduk masuk gol penyamaan kedua Tottenham pada masa kecederaan.

Tuchel berjabat tangan dengan Conte selepas wisel penamat dengan cara yang begitu agresif sehingga mencetuskan insiden pergaduhan.

Kedua-dua pengurus terpaksa dipisahkan oleh pemain dan kakitangan kejurulatihan, tetapi mereka akhirnya dibuang padang oleh pengadil, Anthony Taylor.

"Thomas Tuchel didenda £35,000 (RM185,000) dan digantung dari satu perlawanan manakala Antonio Conte didenda £15,000 (RM79,400) selepas masing-masing melanggar Peraturan FA E3.

"Thomas Tuchel dan Antonio Conte mengakui bahawa tingkah laku mereka selepas wisel penamat perlawanan Liga Perdana antara Chelsea FC dan Tottenham Hotspur FC pada Ahad, 14 Ogos 2022 adalah tidak wajar," kata FA.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2022 @ 8:43 AM