PENGURUS Tottenham Hotspur dari Itali, Antonio Conte (kanan) dan pengurus Chelsea dari Jerrman, Thomas Tuchel (kiri) bergaduh selepas perlawanan Ahad lalu. FOTO AFP
PENGURUS Tottenham Hotspur dari Itali, Antonio Conte (kanan) dan pengurus Chelsea dari Jerrman, Thomas Tuchel (kiri) bergaduh selepas perlawanan Ahad lalu. FOTO AFP
Reuters

London: Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel dan rakan sejawatnya di Tottenham Hotspur, Antonio Conte didakwa oleh Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris perselisihan faham ketika perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge, Ahad lalu.

Kedua-dua pengurus itu bersalam selepas pasukan mereka seri 2-2, sebelum mereka naik angin dan bergaduh di tepi padang sehingga akhirnya terpaksa dileraikan pemain dan staf kedua-dua pasukan.

Berikutan perbalahan itu, kedua-dua pengurus itu dilayangkan kad merah oleh pengadil, Anthony Taylor.

"Kedua-dua pengurus itu akan didakwa kerana sikap tidak sepatutnya di akhir perlawanan itu," kata FA menerusi kenyataan.

Mereka diberi masa sehingga Khamis ini untuk memberikan reaksi terhadap dakwaan itu.

FA turut menyiasat komen Tuchel selepas pengendali dari Jerman itu mengecam keputusan Taylor melayangkan kad merah.

Tuchel mendakwa Taylor dan Pembantu Pengadil Video (VAR) membuat kesilapan yang membolehkan Spurs pulang dari Stamford Bridge dengan satu mata.

Pada sidang media selepas perlawanan, Tuchel mendakwa 'berlaku kesilapan besar salah tafsir situasi' dan berkata, lebih baik jika Taylor tidak lagi terbabit mengadili perlawanan membabitkan Chelsea.

Satu petisyen dalam talian mencadangkan Taylor tidak lagi menjadi pengadil pada perlawanan membabitkan Chelsea pada masa depan dilancarkan penyokong selepas aksi itu dan memperoleh lebih 122,000 tandatangan.

Pada ketika Tuchel dan Conte terbabit dalam perselisihan faham itu, mereka kemudian bertenang selepas perlawanan dan tidak menyimpan perasaan dendam antara satu sama lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2022 @ 8:48 AM