PEMAIN Real Madrid menaiki bas tanpa bumbung untuk bertemu penyokong selepas memenangi La Liga untuk kali ke-35 pada Sabtu lalu. FOTO AFP
PEMAIN Real Madrid menaiki bas tanpa bumbung untuk bertemu penyokong selepas memenangi La Liga untuk kali ke-35 pada Sabtu lalu. FOTO AFP
AFP

Madrid: Carlo Ancelotti mengakui Real Madrid perlu melakukan perjudian jika mahu bangkit menewaskan Manchester City pada perlawanan separuh akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi Khamis ini.

Madrid ketinggalan 3-4 selepas perlawanan pertama di Manchester, minggu lalu, dan mereka mahu melakukan satu lagi kebangkitan dan mara ke final kejohanan buat kali pertama sejak 2018.

"Jika kami bertahan, kami tidak akan terkena 99 percubaan dan jika kami mara ke kotak penalti mereka, mereka akan membalas pula, tetapi ada masanya anda perlu mengambil risiko," kata Ancelotti pada sidang media menjelang perlawanan timbal balik itu.

"Pada perlawanan ini, kami menjaringkan banyak gol iaitu empat ketika menentang PSG, lima menentang Chelsea, tiga menentang City – jadi, kami ada kualiti untuk mengambil risiko."

Real Madrid menunjukkan ketahanan dan kebangkitan ketika menentang Paris Saint-Germain di pusingan 16 terbaik dan Chelsea di suku akhir, tetapi Ancelotti berkata, mereka memerlukan lebih daripada karektor untuk menewaskan City.

"Anda tidak akan layak ke final hanya dengan kekuatan hati," kata Ancelotti.

"Personaliti adalah bahagian penting, tetapi anda tetap perlukan kualiti individu serta komitmen sepasukan, anda perlu semuanya untuk ke final dan satu bahagian saja tidak cukup."

Pemain perancang, Luka Modric berkata, pemain yakin mereka akan terus melangkah sambil

Real Madrid memburu Piala Eropah ke-14.

"Kami yakin mampu bangkit kerana sedar tidak bermain pada tahap terbaik ketika perlawanan pertama dan masih mampu menjaringkan tiga gol," kata Modric.

"Kami ada kualiti dan karektor selain sejarah kelab yang memiliki gelaran Piala Eropah paling banyak, ia turut memberikan perbezaan besar."

Real Madrid meraikan kejayaan memenangi gelaran La Liga untuk kali ke-35 pada Sabtu lalu, sambil pemain menaiki bas tanpa bumbung untuk bertemu ribuan penyokong di Plaza Cibeles, walaupun perlawanan dengan City hanya berbaki empat hari.

"Kami mahu ke Cibeles kerana sudah lama tidak meraikan gelaran bersama penyokong kami," kata Modric.

"Kami memang menikmatinya, tetapi sebaik majlis berakhir, kami terus fokus kepada perlawanan esok.

"Ia hari yang indah, tetapi itu saja dan musim ini belum berakhir."

Ancelotti mengesahkan bek Real Madrid, David Alaba tidak dapat beraksi kerana cedera dan tempatnya akan diisi Nacho Fernandez.

Tetapi, katanya, Casemiro kembali cergas dan akan meningkatkan kekuatan pasukan di bahagian tengah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mei 2022 @ 8:42 PM