PENGENDALI Penang FC, ZainalnAbidin Hassan. -FOTO Asrol Awang
PENGENDALI Penang FC, ZainalnAbidin Hassan. -FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Pengendali Penang FC, Zainal Abidin Hassan mengakui laluan sukar bakal dihadapi skuad itu apabila berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi separuh akhir Piala FA.

Namun, bekas pemain kebangsaan itu berkata, pencapaian di separuh akhir piala berprestij itu membuktikan Penang berada kedudukan terbaik.

"Pada masa sama, Penang berada di kedudukan terbawah Liga Super dan pencapaian ini begitu bermakna.

"Pemain memberikan segalanya buat pasukan dan sudah membuktikan dalam saingan Liga Super apabila tewas tipis 0-1 kepada JDT pada 20 Julai lalu.

"Oleh itu kami akan memperbaiki segala kelemahan dan membawa semangat lebih tinggi apabila bermain pada separuh akhir nanti," katanya.

Mengulas kemenangan 5-2 ke atas Sri Pahang FC pada aksi suku akhir piala itu malam tadi, Zainal Abidin memuji kebangkitan yang dipersembahkan anak buahnya.

Katanya, dua gol awal yang dijaringkan lawan menyentap semangat pemainnya selepas tidak beraksi dengan baik pada 30 minit pertama perlawanan.

"Mereka terkejut dan terlena dengan dua gol awal tetapi saya bangga mereka bangkit dengan satu gol di penghujung separuh masa pertama.

"Memasuki babak kedua, pemain meneruskan aksi cemerlang apabila berjaya menyamakan kedudukan sekali gus mengheret perlawanan ke masa tambahan.

"Saya berbangga dengan semua pemain yang melakukan kebangkitan untuk memastikan misi ke separuh akhir tercapai," katanya.

Pada perlawanan itu, Penang yang ketinggalan 0-2 bangkit mencatat kemenangan besar 5-2 ke atas Sri Pahang.

Lima gol Penang, masing-masing dijaringkan T Saravanan pada minit ke-45, Hilal Alhelwe (m-86 dan m-99), Lucas Espindola (m-96) dan K Thivandaran (m-118).

Dua gol Sri Pahang, masing-masing satu Dijaringkan oleh Steven RoDriguez dan Azwan Aripin pada minit ke-12 dan 20.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2022 @ 1:09 PM