DOLLAH memberi arahan kepada pemainnya.  FOTO Farizul Hafiz Awang
DOLLAH memberi arahan kepada pemainnya. FOTO Farizul Hafiz Awang
Asrol Awang


Kuantan: Pengendali Sri Pahang FC, Dollah Salleh mengakui kemenangan 2-0 ke atas Selangor FC semalam, lebih kepada tuah.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, ini kerana skuad Tok Gajah tidak beraksi pada tahap terbaik seperti yang diinginkan.

"Pada perlawanan hari ini (malam semalam), Sri Pahang memiliki tuah kerana kita bermain biasa sahaja tidak seperti ketika aksi separuh masa pertama ketika suku akhir Piala FA menentang Penang FC.

"Namun, saya bersyukur kerana selepas lima perlawanan tanpa kemenangan, Sri Pahang kembali mengutip tiga mata.

"Saya puji kerana pemain bermain dengan mempamerkan disiplin tinggi bukan sahaja ketika bertahan, malah saling bekerjasama membantu jentera serangan.

"Pada masa sama, kita tahu bahawa kekuatan Selangor di bahagian tengah dan pemain berjaya menyekat lawan seperti yang dirancangkan," katanya.

Mengulas aksi sepanjang 90 minit perlawanan, Dollah berkata, skuad itu hampir memberikan gol kepada lawan pada minit awal perlawanan.

Katanya, kesilapan itu tidak sepatutnya dilakukan termasuk beberapa percubaan yang dilakukan Selangor.

"Tetapi bernasib baik Selangor tidak menjaringkan gol, sebaliknya Sri Pahang berjaya menjaringkan dua gol yang begitu bermakna," katanya.

Pada perlawanan itu, dua gol Sri Pahang, masing-masing satu dijaringkan oleh Steven Rodriguez dan Abdul Malik Mat Ariff pada minit ke-34 dan 39.

Kemenangan itu juga melonjakkan Sri Pahang ke kedudukan kesembilan liga berbanding ke-11 sebelum itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2022 @ 4:50 PM