PENGENDALI Sri Pahang FC, Dollah Salleh. -FOTO Asrol Awang
PENGENDALI Sri Pahang FC, Dollah Salleh. -FOTO Asrol Awang
Asrol Awang

Kuantan: Pengendali Sri Pahang FC, Dollah Salleh lega selepas skuad itu mencatat kemenangan pertama dalam saingan Piala Malaysia selepas membelasah Penang FC 4-0 malam tadi.

Bekas pemain kebangsaan berkata, kemenangan itu juga turut membantu skuad Tok Gajah untuk kembali merebut tempat ke saingan suku akhir piala berprestij itu.

"Bagi saya peluang kembali terbuka buat Sri Pahang ke suku akhir selepas mengalami dua kekalahan pada perlawanan sebelum ini.

"Jika corak permainan dan semangat ini dapat dikekalkan pada tiga baki perlawanan, tidak mustahil Sri Pahang layak ke pusingan seterusnya.

"Oleh itu pemain diharap mengekalkan prestasi mereka pada baki tiga perlawanan termasuk kembali menentang Penang FC Rabu ini," katanya.

Mengulas kemenangan besar ke atas Penang FC, Dollah memuji persembahan keseluruhan yang dipersembahkan anak buahnya.

Katanya, kemenangan itu juga lebih kepada komitmen tinggi pemain sepanjang tempoh sebulan rehat serta keputusan positif dalam dua aksi persahabatan.

"Sememangnya saya sudah menjangkakan kebangkitan yang akan dipersembahkan pemain kerana turut memberikan kata-kata semangat supaya tidak tertekan selepas mengalami dua kekalahan.

"Saya tidak mahu mereka berasa seolah-olah Sri Pahang sudah terkeluar untuk menempah tempat ke suku akhir dan kemenangan ini membuktikan mereka kembali menemui rentak permainan," katanya.

Pada perlawanan itu, empat gol Sri Pahang, masing-masing dua dijaringkan Abdul Malik Mat Ariff pada minit ke-11 dan 55 manakala satu oleh Manuel Hidalgo (m-47) dan Abubakar Yakubu (m-72).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Oktober 2021 @ 11:25 AM