SEBAHAGIAN pemain KUFC ketika sesi latihan bagi membuat persiapan menentang PDRM, petang esok. FOTO Ihsan KUFC
SEBAHAGIAN pemain KUFC ketika sesi latihan bagi membuat persiapan menentang PDRM, petang esok. FOTO Ihsan KUFC
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Penyerang import, Jacob Njoku menjadi sandaran Kelantan United Football Club (KUFC) untuk mengikat pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam saingan Liga Perdana, petang esok.

Ketua Jurulatih KUFC, Syamsul Saad berkata, pasukan sudah pasti menagih magis daripada pemain Nigeria itu yang sudah berehat panjang atas faktor kecederaan.

Katanya, kehadiran Nik Akif Syahiran Nik Mat ke dalam pasukan sebagai pemain pinjaman turut memberi kelebihan buat pasukan.

"Kemasukan Nik Akif saya lihat dia cepat menyesuaikan diri dalam pasukan dan diharap dapat memberi impak yang lebih baik.

"Saya juga berharap kehadiran beliau (Nik Akif) berjaya menghadirkan persaingan sihat di kalangan pemain," katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Syamsul berkata, KUFC tidak boleh memandang mudah menentang sang saka biru kerana kekalahan esok boleh menyebabkan kedudukan pasukan dalam liga dipintas PDRM.

Katanya, PDRM juga semakin beraksi baik selepas membawa masuk beberapa pemain baru dalam perpindahan jendela kedua Liga Malaysia musim ini.

"PDRM berjaya menang ke atas Perak pada perlawanan akhir mereka manakala kami pula ditewaskan Perak pada aksi terakhir liga yang lalu.

"Jadi kami perlu lebih berhati-hati merangka strategi menghadapi PDRM kali ini," katanya.

Syamsul berkata, pihaknya turut berharap perlawanan kali pertama beraksi di laman sendiri musim ini turut menjadi pembakar semangat pasukan untuk mengutip tiga mata berharga.

Beliau juga mengharapkan 'pemain ke 12' akan turun beramai-ramai ke stadium keramat Kelantan, Stadium Muhammad IV, Kota Bharu memberi sokongan padu buat pasukan The Green Deers.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Julai 2022 @ 4:21 PM