Pemain KUFC, Muhammad Asraff Alifuddin Yassin melakukan percubaan ke arah gol. -FOTO Ihsan Kelantan United FC.
Pemain KUFC, Muhammad Asraff Alifuddin Yassin melakukan percubaan ke arah gol. -FOTO Ihsan Kelantan United FC.
Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Pengendali Kelantan United FC (KUFC), Syamsul Saad menyifatkan ketiadaan empat tonggak utama yang tidak dapat diturunkan menjadi punca utama pasukan itu tewas 0-2 kepada Johor Darul Ta'zim II (JDT II) pada aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), malam tadi.

Syamsul berkata, antara pemain yang terpaksa disisihkan akibat dikuarantin selepas positif COVID-19 adalah Haziq Subri, Nik Azli Nik Alias dan Amirul Syafik manakala pemain import Jacob Njoku mengalami kecederaan di pangkal paha.

Katanya, Jacob bermati-matian mahu diturunkan namun beliau enggan mengambil risiko kerana kecederaan yang dialaminya akan lebih serius dan ia berpunca daripada perjalanan selama 13 jam dari Kuala Terengganu ke Pasir Gudang.

"Masalah itu menjejaskan permainan kami dan menyebabkan tiada pilihan malah terpaksa letak pemain pertahanan kanan beraksi di posisi sayap kanan dan saya juga terpaksa mengubah taktik permainan selepas kehilangan beberapa tonggak utama.

"Pada babak pertama kita mencipta banyak peluang dan mampu jaringkan gol malah semuanya sudah dirancang untuk tampil permainan yang agresif apabila menentang JDT II malah situasi satu lawan satu dengan penjaga gol seharusnya menghasilkan gol tapi gagal melakukan jaringan.

"Boleh dikatakan kami turunkan ramai pemain simpanan walaupun kami cipta peluang tapi tidak mampu menjaringkan gol," katanya.

Syamsul juga tidak menafikan aksi pemain KUFC pada babak kedua tampak bergelut untuk mengimbang corak permainan skuad kendalian Raul Mariano yang mula menguasai permainan apabila kerap mengasak ke kubu KUFC.

Tambahnya, kegagalan pemain KUFC mengambil peluang turut menjadi punca pasukan itu gagal membawa pulang tiga mata namun pasrah dengan kekalahan yang dialami dan optimis akan bangkit pada aksi seterusnya.

"Kami akan berdepan PDRM FC, 27 Mac ini dan pemain yang dikuarantin akibat Covid-19 akan kembali menjalani latihan dan berharap Jacob pulih sepenuhnya untuk persiapan menghadapi aksi seterusnya," kata Syamsul

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2022 @ 2:22 PM