SELANGOR FC tak boleh ambil mudah ancaman Kelantan United. FOTO Selangor FC
SELANGOR FC tak boleh ambil mudah ancaman Kelantan United. FOTO Selangor FC
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pasukan Selangor FC tidak mahu memperkecilkan kebolehan skuad daripada Liga Perdana menjelang aksi pertama pusingan 16 terbaik Piala Malaysia menentang Kelantan United di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Kota Bharu malam esok.

Pengendali Selangor FC Tan Cheng Hoe berkata, beliau tetap menurunkan barisan pemain terbaik bagi memastikan pasukannya tidak menjadi mangsa Kelantan United.

"Seperti kita tahu, Sharul dilayangkan kad merah pada perlawanan terakhir Liga Super bertemu Penang FC sekali gus menyaksikan dia digantung perlawanan manakala Agyarkwa pula disisihkan ekoran kecederaan.

"Kita hilang beberapa tonggak utama namun bukan bermakna tidak akan menurunkan barisan pemain terbaik untuk menentang Kelantan United. "Saya pasti siapa sahaja diturunkan bersedia untuk menggalas tanggungjawab dengan motivasi pasukan sepanjang sesi latihan minggu lalu cukup positif," katanya.

Mengulas lanjut, Cheng Hoe mahu pasukan berwaspada dengan ancaman yang boleh diberikan skuad The Green Deers kendalian Syamsul Saad kerana mereka memiliki kualiti yang baik menerusi aspek serangan.

Kata Cheng Hoe, tiga pemain pasukan tuan rumah, Masashi Motoyama, Jacob Njoku dan Nik Akif Syahiran perlu 'dirantai' sekiranya mahu membawa bekalan selesa ke Petaling Jaya pada pusingan kedua nanti.

"Kelantan United adalah pasukan yang bagus walaupun beraksi di Liga Premier. Kita dapat lihat mereka memiliki coran permainan agresif selain bergantung dengan dua pemain import utama dari Nigeria (Njoku) dan Jepun (Motoyama).

"Selain itu, mereka juga memiliki Nik Akif yang mempunyai kualiti tersendiri dalam melakukan hantaran selain mencipta ruang buat jentera serangan. "Secara keseluruhan, saya mahu pasukan fokus sepanjang 180 minit perlawanan kerana apa sahaja boleh berlaku selepas format baharu dengan pemansuhan peraturan gol di tempat lawan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2022 @ 9:00 PM