SALAH terima bayaran gaji tertinggi dalam sejarah Liverpool. -FOTO Reuters
SALAH terima bayaran gaji tertinggi dalam sejarah Liverpool. -FOTO Reuters
Agensi

London: Mohamed Salah yakin dia boleh memenangi lebih banyak trofi bersama Liverpool selepas memuktamadkan kontrak lanjutan baru selama tiga tahun.

Pemain antarabangsa Mesir itu memasuki tahun terakhirnya kontrak yang sedia ada selepas rundingan mengenai lanjutan kontraknya berlarutan sepanjang musim ini.

Terdapat halangan mengenai tuntutan gaji pemain berusia 30 tahun itu tetapi selepas mengadakan perbincangan bersama dengannya yang kini masih lagi bercuti, mereka mendapat kata sepakat untuk menjadi penyerang itu sebagai pemain yang menerima bayaran tertinggi dalam sejarah kelab itu.

"Saya berasa sangat hebat dan (saya) teruja untuk memenangi lebih banyak trofi bersama kelab. Ia adalah hari yang menggembirakan untuk semua orang," katanya.

"Saya fikir ia memerlukan sedikit masa untuk memperbaharuinya tetapi kini semua sudah selesai jadi kami hanya perlu fokus kepada perkara seterusnya.

"Saya rasa anda boleh lihat dalam tempoh lima atau enam tahun kebelakangan ini pasukan sentiasa meningkat.

"Musim lalu kami hampir memenangi empat, tapi malangnya pada minggu terakhir musim ini kami kehilangan dua trofi (Liga Perdana dan Liga Juara-Juara).

"Saya rasa kami berada dalam kedudukan yang baik untuk memperjuangkan segala-galanya. Kami juga mempunyai pemain baru.

"Kami hanya perlu terus bekerja keras, mempunyai misi yang baik, bersikap positif dan meneruskan segala-galanya semula."

Salah menjaringkan 156 gol dan 254 penampilan untuk kelab itu sejak tiba pada 2017 dan membantu mereka memenangi Liga Perdana, Liga Juara-Juara, Piala Dunia Kelab, Piala FA dan Piala Liga pada masa itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2022 @ 11:55 AM