KANE tidak mahu memberi jaminan akan terus kekal di Spurs. FOTO Reuters
KANE tidak mahu memberi jaminan akan terus kekal di Spurs. FOTO Reuters
Reuters

PENYERANG Tottenham Hotspur, Harry Kane berkata, dia mungkin akan meninggalkan kelab Liga Perdana itu jika tidak menunjukkan peningkatan dan berada di landasan tepat kerana keinginannya mahu memenangi trofi kejuaraan.

Kane sudah menjaringkan 181 gol untuk Spurs di semua pertandingan dengan purata 30 gol semusim sejak berada dalam kesebelasan utama bermula 2014 namun dia masih gagal mengecapi sebarang trofi bersama kelab London itu.

Penyerang England itu menandatangani lanjutan kontrak selama enam tahun pada 2018 yang menyaksikannya kekal di Spurs sehingga 2024.

Namun menerusi temubual bersama pengkritik Sky Sports, Jamie Redknapp, Kane tidak mahu memberi jaminan dia akan kekal jika Spurs tidak meraih kejayaan.

“Saya sentiasa seronok beraksi bersama Spurs tetapi ia hanyalah salah satu perkara saja. Saya sentiasa berkata jika berasakan kelab tidak menunjukkan peningkatan atau berada di landasan tepat, saya tidak mahu kekal hanya semata-mata untuk kepentingan diri sendiri,” katanya.

“Saya seorang pemain yang mempunyai cita-cita tinggi. Saya mahu memperbaiki diri dan menjadi lebih baik.

“Saya juga mahu menjadi seorang pemain terbaik. Jadi segala-galanya terpulang kepada apa yang berlaku di dalam pasukan dan bagaimana pasukan menunjukkan peningkatan. Saya tidak mahu menyatakan akan terus kekal di Spurs,” katanya.

Kejayaan paling hampir yang diharungi Kane adalah final Piala Liga 2015 dan final Liga Juara-Juara musim lalu.

“Selama beberapa tahun kita sering berkata bahawa Spurs mampu memenangi trofi. Kami mempunyai pasukan yang bagus tetapi masih lagi gagal memenangi trofi.

“Sukar untuk seorang pemain dan individu menerima kenyataan ini. Saya mahu memenangi segala-galanya yang saya lakukan.

“Sudah tentu saya mahu memenangi trofi. Sama ada cepat atau lambat, saya mahu memenanginya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2020 @ 9:11 AM