AKSI Bergson meledak jaringan ketika menentang PJ City. FOTO Nur Aisyah Mazalan
AKSI Bergson meledak jaringan ketika menentang PJ City. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pengendali Petaling Jaya City FC (PJ City FC), P Maniam terpaksa menelan kata-kata selepas pada awalnya mengidam untuk mengejutkan Johor Darul Ta'zim (JDT), sebaliknya dibelasah 0-4 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

Maniam berkata, mereka sudah bekerja keras membuat persiapan untuk menentang juara lapan musim berturut-turut itu tapi skuad kendalian Benjamin Mora jelas dalam kualiti tersendiri dan mempamerkan corak permainan tersusun.

Beliau juga menambah pasukannya dihukum selepas terlalu memberi ruang kepada pemain lawan bergerak bebas di kawasan tengah.

"Kami tidak sepatutnya memberi sepakan percuma dan kami dihukum menerusi gol oleh pasukan lawan. Malah dua gol pada babak pertama menyukarkan kami untuk bangkit.

"Kami melepaskan empat gol kepada JDT yang tidak sepatutnya berlaku tapi inilah bola sepak. Kami terima keputusan buruk itu dan akan kaji semula apa terjadi sehingga pemain bagaikan `dipukau' dengan corak permainan dan taktikal JDT," katanya.

Maniam juga tidak menafikan betapa penguasaan tengah oleh JDT menyebabkan barisan pemainnya sukar bergerak dan terpaksa beraksi secara bertahan selepas barisan pemain dibimbing Mora kerap memberi tekanan.

Dengan kekalahan itu, PJ City FC kini menghuni tangga kesembilan dengan mengutip sembilan mata selepas mengharungi sembilan perlawanan.

Untuk aksi seterusnya, Maniam berkata PJ City FC hanya akan beraksi menentang Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada 16 Julai ini dan memiliki tempoh rehat panjang dan ia akan dipraktik dengan persiapan rapi bagi memburu kemenangan.

"Kami akan memberi cuti sekurang-kurangnya tiga hari kepada pemain. Biar mereka lupakan kekalahan kepada JDT yang begitu perit dan kembali cergas untuk persiapan menentang KL City FC kerana perlawanan itu penting untuk mengembalikan momentum kemenangan," kata Maniam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Jun 2022 @ 12:29 PM