IQBAL produk akademi United.
IQBAL produk akademi United.
Agensi

London: Bintang muda Manchester United, Zidane Iqbal menandatangani kontrak baharu jangka panjang dengan kelab itu semalam.

Pemain tengah berusia 19 tahun itu bersetuju dengan terma tiga tahun bersama pilihan lanjutan setahun.

Iqbal menyertai Akademi United pada usia sembilan tahun dan kini dianggap bintang masa depan di Old Trafford.

Dia menandatangani kontrak profesional pertamanya pada April tahun lalu dan turut menjalani latihan pertama bersama skuad Erik ten Hag kelmarin.

Iqbal menikmati aksi pertama Liga Juara-Juara ketika saingan peringkat kumpulan menentang Young Boys pada Disember lalu. Dia masuk sebagai pemain simpanan bersama anak Robbie Savage, Charlie ketika seri 1-1 di Old Trafford sekali gus mencipta sejarah sebagai pemain Britian berdarah Asia pertama beraksi bersama United.

Iqbal dilahirkan di UK tetapi ibunya berasal dari Iraq manakala bapanya warga Pakistan.

Di peringkat antarabangsa, Iqbal mempunyai dua cap bersama Iraq selepas tampil kali pertama awal tahun ini.

Menulis di media sosialnya selepas menandatangani kontrak baharu, Iqbal berkata: "Sangat gembira melanjutkan kontrak bersama kelab hebat ini dan saya amat bersyukur."

Pemain tengah itu muncul tonggak utama skuad B-23 United dan meledak dua gol dalam 17 penampilan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Jun 2022 @ 11:25 AM