OZIL mahu sertai e-sukan selepas bersara. FOTO Twitter / @MesutOzil1088)
OZIL mahu sertai e-sukan selepas bersara. FOTO Twitter / @MesutOzil1088)
Agensi

London: Mesut Ozil mempunyai baki kontrak dua tahun dengan kelab Turki, Fenerbahce tetapi menunjukkan minat mendalam untuk menjadi atlet e-sukan profesional selepas bersara, menurut ejennya.

Ozil berpindah ke Turki dari Arsenal pada Januari 2021 tetapi bergelut mendapatkan tempat dalam skuad utama kendalian Jorge Jesus.

Pemain berusia 33 tahun itu disisihkan daripada skuad Fenerbahce pada baki saingan liga musim lalu dengan perlawanan terakhirnya pada 20 Mac.

Namun, bekas perancang Arsenal itu tampak enggan meninggalkan Fenerbahce, menurut ejennya, Erkut Sogut. "Saya fikir dia tidak akan beraksi bersama kelab lain ," katanya kepada The Telegraph. "Saya tak nampak itu dan akan kekal bersama Fenerbahce."

Bagaimanapun, Sogut berkata Ozil sudah pun menimbangkan masa depannya dengan menyertai e-sukan. "Dia akan membabitkan diri dengan lebih aktif dengan e-sukan dan mungkin menjadi atlet e-sukan," katanya.

"Dia sangat bagus dan saya fikir suatu hari nanti jangan terkejut dia akan bertanding. Dia mempunyai pasukannya sendiri, M10 Esports dan mempunyai beberapa pemain selain memiliki 'outlet' e-sukan di Jerman."

Ozil menubuhkan M10 Esports bersama eSportsReputation ketika masih bersama Arsenal pada Ogos 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Jun 2022 @ 10:01 AM