TENGKU Amir Shah (tiga dari kiri) berkenan menyerahkan jersi baru Selangor FC kepada Noh (tengah) pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Selangor FC di Institut Pengurusan Peladang (IPP). FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
TENGKU Amir Shah (tiga dari kiri) berkenan menyerahkan jersi baru Selangor FC kepada Noh (tengah) pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Selangor FC di Institut Pengurusan Peladang (IPP). FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin

Tanjong Karang: Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Selangor FC di Institut Pengurusan Peladang (IPP) di sini, hari ini.

Majlis turut dihadiri Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), Tan Sri Noh Omar merangkap Ahli Parlimen Tanjong Karang dan para pemain utama serta pegawai Selangor FC.

Keberangkatan tiba Tengku Amir ke IPP pada 2.40 petang itu disambut kira-kira 10,000 pengunjung terdiri daripada penyokong Gergasi Merah dan penduduk setempat.

Baginda kemudian ke majlis santapan dan seterusnya berkenan menyampaikan duit raya kepada pelajar Tahfiz Haji Omar.

Pada majlis itu, baginda turut berkenan menerima penyerahan penajaan daripada Prisha M Sdn Bhd dan Ali Good Bind Sdn Bhd kepada Selangor FC.

Sementara itu, Presiden Tanjong Karang FC Datuk Shahrizal Sahri berkata, penganjuran majlis rumah terbuka itu adalah sesuatu yang istimewa kerana dihadiri Tengku Amir dan pemain bola sepak Selangor.

Beliau berkata, kebiasaannya program bertemu pemain bola sepak diadakan di Lembah Klang, namun kali ini diadakan di luar bandar.

"Saya gembira apabila kita dapat bekerjasama dengan Selangor FC dengan lebih dekat terutama kepada penduduk yang berada jauh dari bandar.

"Ini juga menjadi peluang dan kelebihan kepada penduduk di Tanjong Karang untuk beramah mesra dengan pemain, dan barisan pegawai Selangor FC" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mei 2022 @ 5:54 PM