Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima pembayaran zakat perniagaan daripada lima syarikat korporat sebanyak RM10.2 juta.

Menurut Lembaga Zakat Selangor (LZS), Worlwide Holdings Berhad mendahului senarai syarikat yang menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM2.89 juta bagi tahun 2022.

Penyerahan itu diikuti dengan Kumpulan SIRIM sebanyak RM2.33 juta, Rafulin Holdings Sdn Bhd sebanyak RM 1.6 juta dan Sime Darby Property Berhad sebanyak RM1 juta.

Baginda turut menerima zakat perniagaan daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) berjumlah RM2.31 juta.

Selain majlis pembayaran zakat itu, baginda berkenan berbuka puasa bersama rakyat dalam Majlis Berbuka Puasa Sultan Selangor Bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya 1444H di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam di sini, semalam.

Baginda diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof; Mufti Selangor, Datuk Dr. Haji Anhar Opir dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato' Mohd Shahzihan Ahmad.

Di majlis sama, baginda menyaksikan penyerahan sumbangan LZS kepada JAIS bagi Sumbangan Ihya' Ramadhan Masjid dan Surau Negeri Selangor berjumlah RM2.4 juta sempena Ramadan.

Sultan Sharafuddin turut berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 80 asnaf fakir, 301 asnaf miskin dan 112 orang muallaf.

Setiap penerima masing-masing menerima sumbangan sebanyak RM500 dengan jumlah sebanyak RM 246,500.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mac 2023 @ 1:14 PM
SULTAN Sharafuddin (kanan) berkenan menerima zakat perniagaan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Worldwide Holdings Berhad, Datin Paduka Norazlina Zakaria (dua kiri). FOTO Faiz Anuar
SULTAN Sharafuddin (kanan) berkenan menerima zakat perniagaan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Worldwide Holdings Berhad, Datin Paduka Norazlina Zakaria (dua kiri). FOTO Faiz Anuar