KHAIRY (kiri) hadir meninjau pembukaan PPV Tanjong Karang di Institut Pengurusan Peladang Tanjong Karang, hari ini.Turut hadir Noh. FOTO Bernama.
KHAIRY (kiri) hadir meninjau pembukaan PPV Tanjong Karang di Institut Pengurusan Peladang Tanjong Karang, hari ini.Turut hadir Noh. FOTO Bernama.
Amirul Aiman Hamsuddin


Tanjong Karang: Setiap kerajaan negeri diingatkan supaya mencari jalan meningkatkan kapasiti penggunaan vaksin Covid-19 sehingga 90 peratus dan ke atas bermula 1 Julai hadapan.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, inisiatif itu susulan lebih banyak vaksin akan tiba dan dihantar ke pusat pemberian vaksin (PPV) pada bulan itu.

Malah, katanya, kerajaan juga bercadang untuk membuka lebih banyak PPV di setiap daerah di seluruh negara pada bulan yang sama.

"Kita tiada pilihan... Vaksin tiba lebih banyak pada Julai ini. Saya tak nak vaksin itu 'duduk' dalam peti sejuk beku.

"Sekiranya tiada pembukaan PPV, maka kadar penggunaan vaksin akan jatuh. Oleh yang demikian, saya minta setiap negeri pastikan kadar penggunaan adalah 90 peratus ke atas.

"Sementara, 10 peratus lagi perlu disimpan. Kita bimbang bekalan vaksin tidak mencukupi," katanya ketika melawat PPV di Institut Pengurusan Peladang (IPP), di sini, hari ini.

Khairy berkata, sehingga kelmarin kadar penggunaan vaksin paling tinggi adalah Melaka sebanyak 94 peratus, diikuti Terengganu (92 peratus), Negeri Sembilan (92 peratus) dan negeri lain yang melebihi 80 peratus kecuali Selangor, pada kadar 76 peratus.

Mengulas mengenai PPV Institut Pengurusan Peladang (IPP), Khairy berkata, pembukaan itu adalah sebahagian inisiatif Ahli Parlimen Tanjong Karang untuk memudahkan penduduknya menerima suntikan vaksin Covid-19.

"Sebelum ini, penduduk terpaksa ke Stadium Tertutup Kuala Selangor atau Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam untuk menerima vaksinasi mereka.

"Di atas keprihatinan beliau (Noh) untuk memendekkan jarak penerima pergi ke PPV, kita sudah membuka satu PPV di Tanjong Karang yang dapat menampung kira-kira 1,000 sehari," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Jun 2021 @ 4:52 PM