AKMAL (kanan) dipilih pemain terbaik MU.
AKMAL (kanan) dipilih pemain terbaik MU.
Nazri Abu Bakar


Melaka: Gelaran pemain terbaik diperoleh pemain pertahanan Melaka United (MU), Akmal Zahir dalam perlawanan pusingan kedua Piala FA menentang PJ City dianggap sebagai pembakar semangat buatnya untuk lebih cemerlang.

Baginya, anugerah MU itu diperoleh hasil kerja gigih rakan sepasukan yang membentuk persefahaman padu dalam perlawanan di Stadium Hang Jebat berkenaan.

Malah baginya, ia bukan semata-mata buat dirinya sebaliknya sokongan kesebelasan pemain, pengurusan, jurulatih dan rakan sepasukan membolehkan dia mampu meraih gelaran terbabit.

Katanya, kerjasama padu membuahkan hasil cemerlang untuk pasukan sekali gus mengatasi lawan, namun aksi bakal lebih mencabar dan getir di peringkat suku akhir selepas ini.

Menurutnya, apapun gandingan mantap berkenaan diharap akan berterusan untuk memastikan usaha Melaka mara lebih jauh mampu menjadi kenyataan.

"Apapun, masih terlalu awal untuk memikirkan ke perlawanan akhir kerana masih banyak perlawanan perlu kami lalui. Justeru fokus kami terarah kepada satu perlawanan ke satu aksi berikutnya. Insya-Allah kalau ada rezeki sasaran kami ke final mampu menjadi kenyataan. Namun usaha gigih ke arah itu amat penting untuk memastikan persembahan pasukan lebih agresif dan jitu," katanya.

Baginya, tiga kemenangan berturut-turut termasuk aksi Liga Super meningkatkan moral pemain bagi menghadapi saingan lebih sengit terutama berdepan Negeri Sembilan pada aksi liga pada 18 Jun depan.

Justeru, latihan yang disusun menjelang perlawanan berkenaan bakal memberi impak kepada persembahan meyakinkan untuk tidak dihampakan lawan.

Akmal berkata, apa yang penting perlawanan di gelanggang sendiri itu perlu digunakan sebaik mungkin skuad Hang Tuah untuk memperbaiki kedudukan di carta liga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2022 @ 5:42 PM