PEMAIN Melaka Balsa Bozovic (jersi putih) melepasi halangan pemain Negeri Sembilan di Stadium Hang Jebat minggu lalu.
PEMAIN Melaka Balsa Bozovic (jersi putih) melepasi halangan pemain Negeri Sembilan di Stadium Hang Jebat minggu lalu.
Nazri Abu Bakar

Melaka: Pengurusan Melaka United mengharapkan sentuhan pemainnya terus menyerlah selepas kini menduduki tangga ketiga Liga Perdana daripada empat perlawanan.

Mencipta empat gol dengan mengumpul lapan mata, dua mata di belakang pendahulu Kuala Lumpur (10 mata) dan pasukan tangga kedua DRB Hicom (9 mata), skuad itu dilihat berada pada landasan betul untuk mengintai kedudukan lebih baik.

Pengurus Melaka Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, kedudukan itu sebenarnya masih belum selamat buat pasukan berikutan aksi liga masih terlalu awal.

Katanya, ia juga bukan ukuran sebenar kekuatan pasukan malah jarak mata antara pasukan tangga keempat dan kelima dibezakan dengan satu mata saja.

Namun ia amat baik dalam memastikan momentum pasukan berada pada tahap terbaik sambil terus berusaha meraih mata penuh dalam setiap perlawanan.

Beliau berkata, walaupun sekadar seri 0-0 dengan Negeri Sembilan pada perlawanan terakhir sebelum ini persembahan skuad Hang Tuah tetap membanggakan berbanding tiga aksi sebelumnya.

Baginya, gerakan pemain dilihat lebih tersusun dan kawalan bola lebih baik berbanding perlawanan terdahulu, namun nasib tidak menyebelahi pasukan untuk meraih tiga mata.

“Malah jika berjaya sudah pasti kutipan 10 mata menyamai Kuala Lumpur selepas Melaka gagal menggunakan kelebihan aksi di kandang sendiri untuk meledak jaringan kemenangan di depan kira-kira 20,000 penyokong setia.

“Perlawanana malam itu adalah yang paling ramai setakat ini. Apapun pasukan masih tidak bernasib baik untuk menjaringkan gol walaupun mendapat sokongan padu peminat,” katanya.

Justeru beliau berharap pemain lebih garang bertemu Sabah di laman lawan Jumaat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2016 @ 9:11 AM