SIDANG media pengumuman skuad Harimau Malaya di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). FOTO Ihsan FAM
SIDANG media pengumuman skuad Harimau Malaya di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). FOTO Ihsan FAM
Oleh Firdaus Hashim


Petaling Jaya: Selamat kembali Guilherme De Paula ke pangkuan skuad Harimau Malaya!

Itu antara ucapan boleh diungkapkan apabila pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon mencetuskan kejutan dengan menamakan penyerang naturalisasi negara, Guilherme De Paula ke dalam senarai 29 pemain yang diumumkan hari ini.

Menerusi sidang media di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di sini, khidmat De Paula ditagih Pan-gon biarpun tonggak kelahiran Brazil itu dilihat lebih banyak memanaskan bangku simpanan bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) sepanjang musim ini.

Ditanya asas mengapa pemain naturalisasi ketiga negara itu dipanggil kali ini sedangkan De Paula langsung tidak beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M), Pan-gon menjelaskan beliau mahu melihat sendiri kelebihan yang ada pada pemain itu.

Katanya, beliau tidak mahu dirinya menyesal di kemudian hari jika tidak dapat menilai sendiri kemampuan De Paula yang mungkin bermanfaat buat skuad negara khususnya dalam Kelayakan Piala Asia, bulan depan.

"Saya faham ada beberapa kejutan dalam senarai nama ini, tapi bagi saya…saya tidak melihat dari aspek individu semata-mata tetapi lebih melihat dari sudut berpasukan.

"Sebelum kita menyertai Kelayakan Piala Asia, ini adalah panggilan kedua skuad negara jadi saya tak nak menyesal, dengan saya mahu melihat sendiri kekuatan yang kita ada daripada semua pemain yang kita ada.

"Saya nak menilai semua pemain ini dalam aksi persahabatan nanti, dan saya nak gunakan peluang ini di depan mata, melihat kemampuan pemain di mana saya memanggil sembilan pemain baharu yang tak dipanggil sebelum ini," katanya.

Malah ujarnya lagi, beliau mahu mewujudkan suasana lebih kompetitif antara pemain sebelum senarai akhir dikurangkan kepada 23 pemain sahaja.

"Saya cuba nak buat suasana lebih berdaya saing dan sengit, saya panggil 29 pemain ketika ini dengan senarai akhir saya akan kecilkan kepada 23 pemain sahaja.

"Ia akan jadi saingan yang kompetitif dan saya suka wujudkan suasana ini, dan saya mahu lihat sendiri pemain memberi respon, prestasi dan sumbangan profesional mereka di atas padang," kata jurulatih dari Korea Selatan itu.

Ditanya pula mengapa nama Natxo Insa hanya berada dalam senarai menunggu, beliau menjelaskan keputusan berkenaan dibuat berdasarkan perancangan taktikal pasukan.

"Macam saya katakan ia ada beberapa sebab termasuk disebabkan taktikal dan juga saya nak menilai sendiri di depan mata.

"Kalau ada peluang kita mahu pemain yang terbaik, jadi untuk masa ini kita sudah pantau semua aksi Liga M. Sebanyak 333 laporan prestasi individu pemain yang kita terima daripada barisan kejurulatihan, dengan semua pemain ini saya percaya miliki kelebihan tersendiri," katanya.

Dalam senarai 29 pemain itu, seramai 14 pemain adalah dari JDT termasuk penampilan semula pemain berpengalaman, Norshahrul Idlan Talaha.

Skuad negara dijadual memulakan kem latihan Khamis ini dengan dua aksi persahabatan bakal menanti sebelum turun beraksi dalam Kelayakan Piala Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil, dari 8-14 Jun ini.

Pada pusingan kelayakan itu, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan E bersama Turkmenistan, Bangladesh dan Bahrain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2022 @ 3:06 PM