SUAREZ sebak tinggalkan Atletico. -FOTO AFP
SUAREZ sebak tinggalkan Atletico. -FOTO AFP
AFP

Madrid: Luis Suarez berkata Atletico Madrid akan sentiasa berada dalam hatinya selamanya.

Penyerang itu mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong tuan rumah selepas perlawanan menentang Sevilla yang berkesudahan dengan keputusan seri 1-1, awal pagi tadi.

Keputusan itu mengesahkan tempat Sevilla di kelompok empat teratas La Liga hasil gol penyamaan lewat perlawanan oleh Youssef En-Nesyri di Wanda Metropoliano sekali gus layak ke aksi Liga Juara-Juara.

"Terima kasih Lucho kerana menjadikan kami juara," tulis sepanduk gergasi dibentangkan oleh penyokong sebelum sepak mula dan Suarez kelihatan sebak ketika dia mengorak langkah bersama keluarganya selepas tamat tempoh perlawanan.

Pemain berusia 35 tahun itu akan meninggalkan Atletico apabila kontraknya selama dua tahun tamat musim panas ini.

Selepas dilepaskan Barcelona yang berdepan krisis kewangan pada 2020, Suarez membalas dendam dengan membuktikan bahawa dia mampu memainkan watak penting apabila membantu Atletico merangkul gelaran La Liga musim lalu dan meledakkan 21 gol dari 32 perlawanan liga serta menamatkan musim itu sebagai penjaring terbanyak pasukan.

Pemain itu memainkan peranan penting buat pasukannya bagaimanapun kurang menyengat apabila hanya menjaringkan 14 gol dari 48 penampilan Atletico mengundang kemerosotan aksi pasukan itu musim ini.

Suarez lebih banyak memanaskan bangku simpanan sejak awal musim ini dengan Joao Felix semakin menjadi pilihan jurulatih Atletico, Diego Simeone.

"Saya berterima kasih kepada semua peminat Atletico setiap orang daripada mereka," kata Suarez.

"Kasih sayang yang mereka berikan kepada saya sejak saya tiba sangat mengagumkan dan saya tidak akan melupakannya. Saya cuba membalasnya di atas padang dan memberikan 200 peratus kepada kelab yang membuka pintunya kepada saya.

"Saya akan sentiasa membawa kasih sayang kelab ini bersama saya selepas tidak dapat menikmatinya sebelum ini. Saya akan membawa Atletico bersama dalam hati saya selamanya."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 9:48 AM