PENGENDALI skuad B-23 negara, Brad Maloney melawat Azam Azmi di hospital. FOTO FAM
PENGENDALI skuad B-23 negara, Brad Maloney melawat Azam Azmi di hospital. FOTO FAM
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pertahanan kanan skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23), Muhammad Azam Azmi Murad, akui semangatnya berkobar-kobar untuk turun beraksi menentang Laos pada aksi kedua Sukan Sea di Stadium Thien Truong di Nam Dinh, Vietnam, malam esok.

Namun atas nasihat pegawai perubatan, pemain Terengganu FC (TFC) itu terpaksa melupakan seketika hasratnya itu bagi memastikan dia benar-benar pulih daripada kecederaan dialaminya.

"Jika ikutkan hati, saya bagaikan tidak sabar untuk turun beraksi dalam perlawanan kedua malam esok lebih-lebih lagi misi kita untuk mengutip tiga mata bagi mengukuhkan kedudukan dalam peringkat Kumpulan B.

"Lagipun saya sudah mula melakukan latihan ringan bagi meningkat lagi tahap kecergasan selepas dimasukkan ke hospital pada Sabtu lalu.

"Bagaimanapun atas nasihat doktor perubatan, saya perlu berehat beberapa hari lagi sebelum turun beraksi, Insya-Allah jika dibenarkan saya akan beraksi menentang Singapura pada aksi ketiga nanti, saya percaya pemain yang bakal menggalas cabaran negara dapat memperagakan aksi bertenaga untuk melakar kemenangan kedua," katanya ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp.

Pada aksi pertama menentang Thailand Sabtu lalu yang berpihak kepada skuad negara 2-1 hasil jaringan Danial Asri dan Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar, pemain berusia 21 tahun itu yang beraksi cemerlang terpaksa diusung keluar pada minit ke-62 dan terus dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut selepas berlanggar dengan pemain Thailand, Jaturapat Sattham.

Bagaimanapun, Azam menjelaskan dia lega apabila doktor mengesahkan tidak berlaku kecederaan yang serius.

"Ketika pelanggaran itu kepala saya terhantuk dengan pemain Thailand menyebabkan kepala terasa pening menyebabkan saya dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut, namun saya lega apabila doktor mengesahkan tidak berlaku kecederaan serius, cuma kini masih dalam proses pemulihan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mei 2022 @ 10:33 PM