JAMES (depan) meraikan gol penyamaan Chelsea di Stamford Bridge. — FOTO Reuters
JAMES (depan) meraikan gol penyamaan Chelsea di Stamford Bridge. — FOTO Reuters
AFP

CHELSEA bangkit daripada ketinggalan 1-4 sebelum seri 4-4 dengan Ajax yang beraksi sembilan pemain pada satu malam mengujakan di Stamford Bridge yang menyebabkan kedua-dua pasukan perlu bekerja keras untuk layak ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara.

Anak buah Frank Lampard kelihatan akan kalah kali kedua di laman sendiri di Eropah apabila gol sendiri babak pertama Tammy Abraham dan Kepa Arrizabalaga selain tandukan Quincy Promes serta penyudah mantap Donny Van der Beek membolehkan juara Belanda itu mendahului 4-1.

Bagaimanapun, selepas Cesar Azpilicueta merapatkan kedudukan buat Chelsea, pelawat beraksi sembilan pemain susulan kad kuning kedua buat Daley Blind dan Joel Veltman dan tuan rumah menerima sepakan penalti kedua mereka.

Jorginho menyamakan kedudukan buat Chelsea 1-1 menerusi sepakan penalti pada babak pertama dan dia melunaskan tugasnya sekali lagi pada babak kedua.

JORGINHO (dua kiri) meledak gol ketiga Chelsea menerusi sepakan penalti. — FOTO Reuters
JORGINHO (dua kiri) meledak gol ketiga Chelsea menerusi sepakan penalti. — FOTO Reuters

Reece James kemudian menyamakan kedudukan buat Blues pada minit ke-74 dan hanya VAR menafikan Chelsea kemenangan bersejarah apabila jaringan Azpilicueta tidak disahkan kerana Abraham dipersalahkan memegang bola.

Kedua-dua pasukan kini terikat tujuh mata di puncak Kumpulan H bersama Valencia, yang mengatasi Lille 4-1 di laman sendiri.

Chelsea menang tujuh aksi Liga Perdana dan Liga Juara-Juara dengan pasukan muda Lampard dipuji kerana kehebatan mereka merobek benteng lawan.

Bekas pemain kebangsaan England itu menganggap kemenangan 1-0 pasukannya di Amsterdam dua minggu lalu sebagai yang terbaik buatnya sebagai pengendali Chelsea setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 November 2019 @ 8:10 AM