AKSI Giroud menjaringkan penalti di Stadium Ramon Sanchez Pizjuan di Seville. FOTO  AFP
AKSI Giroud menjaringkan penalti di Stadium Ramon Sanchez Pizjuan di Seville. FOTO AFP
AFP

Seville: Olivier Giroud menjaringkan empat gol ketika Chelsea menang 4-0 di Sevilla dalam aksi Liga Juara-Juara untuk muncul pendahulu Kumpulan E.

Penyerang berusia 34 tahun itu muncul pemain tertua meledak hatrik dalam kejohanan sejak legenda Hungary, Ferenc Puskas melakukannya bersama Real Madrid ketika menentang Feyenoord pada 1965.

Dia juga pemain pertama menjaringkan empat gol dalam Liga Juara-Juara sejak Cristiano Ronaldo menembusi gawang Malmo lima tahun lalu.

Kedua-dua pasukan telah pun layak ke saingan 16 terakhir tetapi Giroud yang jarang diturunkan dalam kesebelasan utama menggegar gawang dengan kaki kiri, kaki kanan dan kepalanya serta penalti untuk melonjakkan Chelsea ke tangga teratas kumpulan.

"Saya akan terus berusaha melakukannya, menamatkan tugas dengan baik untuk pasukan dan ia menarik terpahat dalam sejarah kelab, jadi saya bangga membantu pasukan mencapai kemenangan dam meledak empat gol," kata Giroud.

GIROUD (belakang) berpelukan dengan Cesar Azpilicueta  selepas menjaringkan gol. FOTO AFP
GIROUD (belakang) berpelukan dengan Cesar Azpilicueta selepas menjaringkan gol. FOTO AFP

Pemain antarabangsa Perancis itu yang hanya tampil dalam skuad utama buat kali kedua musim ini menghantar mesej jelas kepada pengurusnya, Frank Lampard ketika Timo Werner dan Tammy Abraham lebih mendapat tempat dalam pasukan.

"Bagi saya masa nikmati detik indah malam ini dan selepas itu kami akan rehat dulu,'' kata Giroud ketika ditanya harapannya untuk aksi menentang Leeds United dalam saingan Liga Perdana Sabtu ini.

Lampard pula kini berpeluang merehatkan beberapa tonggak utama ketika menentang Krasnodar dalam aksi terakhir di Stamford Bridge.

Giroud tak perlu menunggu masa lama meletakkan pelawat di depan apabila rembatannya menerjah jaring pada minit kelapan selepas mendapat hantaran cantik Kai Havertz.

Chelsea terus garang pada babak kedua apabila Giroud tenang menyungkit bola melepasi penjaga gol Sevilla pada minit ke-54 dan melengkapkan hatrik pertamanya dalam Liga Juara-Juara sejak meledak tiga gol bersama Arsenal ketika menentang Olympiakos pada 2015 dengan tandukan selepas mendapat hantaran N'Golo Kante.

Giroud melengkapkan kemenangan bergaya Chelsea dengan menyempurnakan penalti tujuh minit sebelum tamat permainan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 8:48 AM