NAGELSMANN (kiri) diraikan oleh pemain Bayern selepas mereka merangkul kejuaraan liga yang ke-10 berturut-turut
NAGELSMANN (kiri) diraikan oleh pemain Bayern selepas mereka merangkul kejuaraan liga yang ke-10 berturut-turut
AFP

Berlin: Bayern Munich dinobatkan sebagai juara Bundesliga untuk musim ke-10 berturut-turut selepas melakar kemenangan 3-1 ke atas pasukan di tangga kedua, Borussia Dortmund.

Gol pada babak pertama oleh Serge Gnabry dan Robert Lewandowski membolehkan Bayern menguasai perlawanan di Allianz Arena sebelum Emre Can menyempurnakan penalti selepas rehat buat Dortmund.

Namun pemain remaja, Jamal Musiala merembat masuk gol ketiga lewat perlawanan untuk membolehkan mereka meraikan kejayaan lebih awal bersama penyokong sendiri.

Ini adalah kali pertama sebuah kelab memenangi 10 kejuaraan berturut-turut dalam salah satu dari lima liga teratas Eropah.

"Tahun ini tidak mudah. Itu sebab saya gembira apabila kami dinobatkan sebagai juara liga," kata jurulatih Bayern, Julian Nagelsmann yang diraikan dengan bir oleh pemainnya.

Kemenangan kelapan berturut-turut gergasi Bavarian ke atas Dortmund membolehkan Bayern kini mendahului 12 mata dengan berbaki tiga perlawanan.

Kejuaraan itu menamatkan musim tidak menentu buat Bayern yang disingkirkan daripada Liga Juara-Juara di peringkat suku akhir kepada Villarreal awal bulan ini.

"Adalah sangat penting untuk kami menyelesaikan masalah selepas disingkirkan Villarreal," kata kapten Bayern Manuel Neuer.

"Semua orang mahukannya, itu yang istimewa dalam pasukan kami."

Thomas Mueller yang meraih pingat kejuaraan ke-11 Bundesliga berkata: "Kami dapat meringankan beberapa perkara yang menyesakkan dada. Sekarang ia satu yang indah."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2022 @ 7:20 AM