LEWANDOWSKI ketika sesi latihan, kelmarin.
LEWANDOWSKI ketika sesi latihan, kelmarin.
Agensi

Wolfsburg, Jerman: Robert Lewandowski menegaskan Bayern Munich mahu membalas dendam kekalahan 1-4 pada Bundesliga di tangan Wolfsburg Januari lalu apabila mereka berdepan juara Piala Jerman itu pada aksi Piala Super Jerman, awal pagi esok.

Jurulatih Bayern, Pep Guardiola berharap akhirnya memenangi piala pramusim Jerman itu berikutan dua kekalahan berturut-turut kepada Borussia Dortmund, sekalipun Wolfsburg menjanjikan saingan sengit di Arena Volkswagen.

Bayern, juara Piala Super empat kali, hadir bagi perlawanan di gelanggang Wolfsburg itu sebagai pasukan pilihan, namun kekalahan besar Januari lalu di stadium sama menghantui fikiran mereka.

“Sebenarnya kami tidak bermain dengan bagus pada hari itu,” kata Lewandowski, yang berharap juara Bundesliga itu mampu membalas dendam awal pagi esok.

“Kami mahu memulakan musim dengan kemenangan. Tapi Wolfsburg lawan berbahaya pada Piala Super,” jelas penyerang Poland itu.

CEO Bayern, Karl-Heinz Rummenigge berkata: “Jurulatih kami terlalu ingin memenangi piala ini dan kelab pula mahu menang semua kejuaraan.”

Kelmarin, pemain baru Bayern, Arturo Vidal berlatih bersama rakan sepasukannya buat kali pertama. Pemain kebangsaan Chile itu belum pasti diturunkan di Arena Volkswagen namun jika diturunkan, dia akan bertemu bintang Wolfsburg, Kevin De Bruyne di tengah.

Pemain kebangsaan Belgium itu menjadi bahan spekulasi sejak beberapa minggu lalu dengan Manchester City dilaporkan berminat untuk membelinya dan dia belum lagi komited mengenai masa depannya bersama Wolves.

Namun apapun masa depan De Bruyne selepas perlawanan itu, ketika Pemain Terbaik Bundesliga itu dijangka turun bersama kelab semasanya, Wolfsburg tidak bercadang membenarkan Bayern menyamai rekod pemenang Piala Super, Dortmund.

“Sering kali ada cara untuk mengalahkan FC Bayern,” ujar Dieter Hecking, pengurus Wolfsburg yang dinobat Pengurus Terbaik Tahunan Jerman. “Kami mahu memberikan saingan sengit.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2015 @ 5:08 AM