BELIAU mahu pemain JDT meneruskan rentak positif itu hingga ke perlawanan terakhir Kumpulan I. FOTO Ihsan Instagram
BELIAU mahu pemain JDT meneruskan rentak positif itu hingga ke perlawanan terakhir Kumpulan I. FOTO Ihsan Instagram
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Dua kemenangan berturut-turut dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dengan 'menapau ikat tepi' kelab China, Guangzhou FC dan pasukan Korea Selatan, Ulsan Hyundai perlu diteruskan dalam aksi berikutnya.

Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, tiada apa yang mustahil dan beliau percaya kejutan demi kejutan mampu dilakukan oleh skuad kendalian Benjamin Mora.

Katanya, beliau mahu pemain JDT meneruskan rentak positif itu hingga ke perlawanan terakhir Kumpulan I yang berlangsung secara berpusat di Stadium Sultan Ibrahim itu.

"Semangat yang tinggi. Tiada yang mustahil. Syabas JDT. Teruskan berjuang hingga ke akhirnya, Alhamdulillah," tulis Tunku Ismail di laman Twitter miliknya.

Dengan kejayaan mengutip enam mata maksimum itu, JDT kini memimpin carta Kumpulan I selepas dua aksi setakat ini.

Selepas ini, juara Liga Super sebanyak lapan kali berturut-turut itu akan turun melayan kelab terkuat dari Jepun, Kawasaki Frontale pada Khamis ini.

Skuad Harimau Selatan kini dalam misi untuk cuba melayakkan diri ke pusingan berikutnya selepas dua percubaan iaitu pada 2019 dan 2021 gagal apabila terkandas di peringkat kumpulan, manakala pada musim 2020 menyaksikan JDT menarik diri ekoran Covid-19.

Untuk rekod, JDT pernah muncul juara di peringkat kelab-kelab Asia apabila memenangi Piala AFC pada 2015 lalu yang dianggap saingan kedua berprestij selepas ACL.

Malah, ia adalah pencapaian hebat dari rantau Asia Tenggara ini, di mana masih tiada kelab yang mampu mengulangi kejayaan bersejarah kelab dari Malaysia itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2022 @ 5:04 PM