MORA gembira selepas JDT meraih kemenangan besar 6-0 menewaskan Sarawak United FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi. FOTO RIZAR MOHD NOOR
MORA gembira selepas JDT meraih kemenangan besar 6-0 menewaskan Sarawak United FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi. FOTO RIZAR MOHD NOOR
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT) Benjamin Mora menegaskan keutamaan adalah meraih kemenangan sama ada menang tipis atau besar kerana apa yang disasarkan tiga mata tidak terlepas tatkala beraksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

Pengendali kelahiran Mexico itu berkata, kemenangan menjadi keutamaan buat JDT dan beraksi konsisten tanpa melakukan kesilapan selain menguasai keseluruhan permainan dan membentuk persefahaman mantap secara berpasukan.

"Kita jaring enam gol sememangnya amat sempurna tapi selain menang besar semua pemain yang beraksi di padang sering bekerjasama dan tidak nampak pemain hilang konsentrasi tatkala beraksi dalam tempo perlahan dan pantas.

"Ini membuktikan pemain JDT sentiasa memberi komitmen tinggi sepanjang permainan dan komitmen itu bakal beri ruang kepada kami untuk pergi lebih jauh malah saya tidak nafikan Sarawak United FC pada awal permainan tampil tersusun dan beri tekanan terhadap pemain JDT.

"Saya fikir Sarawak United FC mampu beri saingan kepada JDT malah apabila kami mendahului 2-0 maka pasukan lawan yang ketinggalan beraksi dengan permainan terbuka dan kesempatan itu kami tampil beri tekanan dan mengasak ke kubu mereka bagi menambah jaringan," kata Mora.

Mengulas tentang corak permainan Fernando Forestieri, Mora enggan menumpu kepada individu sahaja sebaliknya menyifatkan kesemua pemain yang beraksi di padang mempamerkan aksi terbaik dan tidak mengecewakan.

Pada perlawanan kedua liga, skuad Harimau Selatan tidak berdepan masalah untuk membenam cabaran skuad Kenyalang Emas 6-0 hasil dua gol masing-masing jaringan Bergson Da Silva dan Forestieri selain jaringan Carli De Murga dan Safawi Rasid.

Sementara itu, tonggak pertahanan JDT, Shane Lowry menegaskan kombinasi bersama De Murga sepanjang dua aksi liga berjaya membentuk persefahaman yang mantap tatkala selepas mengharungi 180 minit perlawanan gawang JDT masih kebal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2022 @ 1:14 PM