PEDRO (tiga kiri) menjaringkan gol penyamaan Chelsea di Frankfurt. — FOTO Reuters
PEDRO (tiga kiri) menjaringkan gol penyamaan Chelsea di Frankfurt. — FOTO Reuters
Reuters

CHELSEA mencatat rekod Liga Europa 16 perlawanan tanpa kalah awal pagi tadi apabila seri 1-1 pada separuh akhir pertama di Eintracht Frankfurt terima kasih kepada gol penyamaan Pedro pada masa kecederaan babak pertama.

Penyerang Serbia, Luka Jovic meletakkan tuan rumah di depan selepas 23 minit.

Keputusan seri itu bermakna Chelsea, pemenang Liga Europa 2013, mengatasi rekod tanpa kalah Atletico Madrid pada 2011-12.

Mereka bagaimanapun bergelut untuk menemui sentuhan dengan Jovic melonjak tinggi untuk menanduk masuk melepasi Kepa Arrizabalaga susulan hantaran silang rakan senegara Filip Kostic sekali gus menggamatkan stadium yang terkenal dengan suasana bingit.

JOVIC (dua kiri) menanduk masuk gol pembukaan buat Eintracht. — FOTO EPA
JOVIC (dua kiri) menanduk masuk gol pembukaan buat Eintracht. — FOTO EPA

Jovic, yang menjadi tumpuan kelab ternama seluruh Eropah, kini menyumbat sembilan gol dalam pertandingan itu dan 26 secara keseluruhan musim ini.

Ruben Loftus-Cheek mengetuai kebangkitan pelawat, rembatannya tersasar sedikit pada minit ke-42 dan kemudian memperdaya pemain pertahanan sebelum melorongkan bola kepada pemain sayap Sepanyol, Pedro yang merembat leret dengan kaki kiri.

Kapten Frankfurt, David Abraham menanduk melepasi palang ketika tidak diawasi enam minit sebelum tamat selepas rayuan terhadap sepakan penalti tidak diendahkan.

“Ketika ketinggalan 0-1 kami agak bermasalah,” kata kapten Chelsea, Cesar Azpilicueta.

“Saya fikir 15 minit terakhir babak pertama kami kuasai dengan peluang hebat. Kami menjaringkan gol sebelum rehat dan pada separuh masa kedua saya fikir kami mencipta lebih banyak peluang berbanding mereka.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 7:38 AM