AKSI Chukwueze meledak jaringan  Villarreal.
AKSI Chukwueze meledak jaringan Villarreal.
Reuters

Munich, Jerman: Bayern Munich dikejutkan Villarreal yang meledak gol penyamaan pada minit ke-88 oleh pemain gantian Samuel Chukwueze untuk kedudukan 1-1 sekali gus membolehkan kelab Sepanyol itu mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara dengan agregat 2-1.

Juara Eropah enam kali, Bayern yang menang 12 daripada 13 aksi kejohanan di tempat sendiri menyamakan agregat selepas 52 minit menerusi rembatan Robert Lewandowski untuk jaringan ke-13 dalam kempen Liga Juara-Juara musim ini.

Namun, mereka gagal menambah jaringan walaupun mendominasi perlawanan. Sebaliknya, Villarreal yang mara ke separuh akhir 2006 membuatkan penyokong tuan rumah tergamam selepas Chukwueze menewaskan penjaga gol, Manuel Neuer dengan rembatan kaki kirinya.

Villarreal akan menentang Liverpool atau Benfica pada peringkat empat terakhir yang menyaksikan kelab Inggeris itu mendahului 3-1 dengan perlawanan kedua di Anfield awal pagi esok.

"Kami sangat gembira. Malah ketika diundi menentang Bayern, kami yakinkan diri mampu melakukannya," kata penyerang Villarreal, Gerard Moreno. "Keyakinan dan cara pasukan ini beraksi membantu kami mencapainya."

"Pada aksi pertama, kami lakukan kesilapan gagal menamatkan terus perlawanan tetapi semua komen menjadi motivasi kepada kami. Mereka pula membuat silap hari ni dengan tidak 'membunuh' kami dan kami memanfaatkan peluang itu."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2022 @ 7:53 AM