TUCHEL (kiri) meraikan kejayaan Bayern Munich mengatasi Arsenal untuk mara ke separuh akhir UCL. FOTO AFP
TUCHEL (kiri) meraikan kejayaan Bayern Munich mengatasi Arsenal untuk mara ke separuh akhir UCL. FOTO AFP
Reuters

Munich: Pengurus Bayern Munich yang akan meninggalkan pasukan itu pada hujung musim, Thomas Tuchel mengakui lega apabila menewaskan Arsenal 1-0, sekali gus mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL), awal pagi tadi.

Tuchel muncul pengendali pertama Jerman yang membimbing tiga pasukan berbeza mara ke separuh akhir UCL, akan meninggalkan setahun lebih awal selepas kempen domestik yang mengecewakan.

Bayern gagal menang sebarang trofi domestik musim ini selepas penguasaan 11 tahun sebagai juara Bundesliga ditamatkan Bayer Leverkusen dan prestasi buruk itu menyebabkan pihak atasan memutuskan untuk berpisah dengan Tuchel di hujung musim ini.

"Separuh akhir adalah langkah yang besar. Empat pasukan terbaik, ia memang seronok. Sangat gembira dan amat melegakan," kata Tuchel pada sidang media.

"Ini adalah detik istimewa. Kami menewaskan satu daripada kelab utama Liga Perdana Inggeris (EPL). Kami akan lihat apa impak kemenangan ini kepada kelab. Musim ini belum berakhir terutama bukan sekarang."

Bayern menang 1-0 menerusi tandukan Joshua Kimmich pada minit ke-63 yang memberikan kemenangan agregat 3-2 di suku akhir, sekali gus menyaksikan Presiden Bayern, Herbert Hainer menguji taktikal kejurulatihan Tuchel.

Mereka akan berdepan Real Madrid di separuh akhir dan keputusan itu meneruskan rekod cemerlang Tuchel yang membimbing tiga kelab di negara berbeza mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir kejohanan Eropah.

Sebelum ini, dia muncul juara Eropah bersama Chelsea pada 2021 dan membimbing Paris St Germain (PSG) ke final pada 2020.

Ketika ditanya mengenai kepuasan berdasarkan musim suram Bayern, Tuchel berkata: "Tetapi, dari mana kritikan itu datang. Ia datang daripada kamu, media dan sekarang anda bertanya saya mengenai kepuasan?

"Ia tetap seperti itu. Saya memberikan segala-galanya sejak hari pertama dan akan terus berbuat demikian sehingga hari terakhir," kataya.

Tuchel kini boleh meninggalkan pasukan dengan bangga berikutan Bayern terus berjuang memburu trofi terbesar benua Eropah yang dimenangi mereka sebanyak enam kali sebelum ini.

"Kami bangga mara ke separuh akhir dan akan lihat apa bakal berlaku dalam tempoh dua minggu lagi."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 9:34 AM