HARAGUCHI penyempurnakan penalti. FOTO/AFP
HARAGUCHI penyempurnakan penalti. FOTO/AFP
AFP

ABU DHABI: Genki Haraguchi menyempurnakan penalti kontroversi dalam kemenangan 1-0 bekas juara itu ke atas Oman dan mara ke pusingan kalah mati Piala Asia.

Sebelum itu Almoez Ali meledak empat gol untuk Qatar ketika tuan rumah Piala Dunia 2022 itu membelasah Korea Utara 6-0 sekali gus mara ke kelompok 16 terakhir daripada Kumpulan E.

Haraguchi memastikan peluang keemasan dari titik penalti dimanfaatkan sepenuhnya, selepas dia seakan menjatuhkan badannya susulan cabaran oleh kapten Oman Ahmed Al-Mahaijri.

 

Oman sebaliknya menyaksikan permintaan mereka untuk mendapatkan penalti dinafikan pengadil sejurus sebelum rehat apabila bola rembatan Salaah Al-Yahyaei kelihatan seperti terkena tangan Yuto Nagamoto.

“Kami tidak bernasib baik dengan bola terkena tangan itu,” kata pengendali Oman Pim Verbeek, yang pasukannya tewas 2-1 kepada Uzbekistan minggu lalu.

“Saya baru melihat ulang tayang di televisyen dan bagi saya ia memang penalti. Menentang pasukan seperti Jepun anda memerlukan sedikit tuah dan kami tidak mendapatnya. Sekarang kami perlu bangkit untuk perlawanan terakhir dan membuatkan Oman bangga.”

Kemenangan 6-0 Qatar ke atas Korea Utara hanya disaksikan oleh 300 penonton di Al Ain.

PEMAIN Jepun meraikan kemenangan ke atas Oman. FOTO/AFP
PEMAIN Jepun meraikan kemenangan ke atas Oman. FOTO/AFP

Sekatan dikenakan ke atas Qatar oleh jiran-jiran negara Teluk menghalang warga Qatar daripada memasuki Emiriah Arab Bersatu.

“Pemain-pemain sedar akan senario ini dan mereka menerimanya,” kata pengendali Qatar Felix Sanchez.

“Kami tidak mempunyai penyokong di sini tetapi kami tahu mereka memberikan sokongan dari Qatar.”

Ali mendahului senarai penjaring kejohanan dengan lima gol selepas meledak dua kali di setiap babak, menyempurnakan hatrik pertama Piala Asia kali ini selepas menewaskan penjaga gol Kim Myong Guk pada minit ke-55.

Dia kini menyamai rekod terbaik kejohanan dan muncul sebagai pemain keempat menjaringkan empat gol dalam satu perlawanan.

Qatar yang menewaskan Lubnan 2-0 pada aksi pembukaan, mendahului kumpulan berdasarkan perbezaan jaringan ke atas juara tiga kali Arab Saudi. – AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 10:04 AM