Azman (dua kiri) pada pelancaran koleksi digital Azman Adnan Non-Fungible Tokens (AANFT).
Azman (dua kiri) pada pelancaran koleksi digital Azman Adnan Non-Fungible Tokens (AANFT).
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Bekas penyerang kebangsaan, Azman Adnan melontar cabaran supaya barisan penyerang negara bangkit membuktikan kualiti yang dimiliki mereka.

Beliau mahu barisan pemain negara membuktikan bahawa Malaysia masih mempunyai permata untuk menjulang Harimau Malaysia di peringkat antarabangsa.

Inilah masanya untuk pemain negara bangkit bersama-sama jurulatih skuad kebangsaan Kim Pan Gon.

Bagaimanapun Azman memohon untuk semua peminat sukan negara bersabar kerana Pan Gon tidak mampu untuk merubah skuad negara sekelip mata.

"Kalau nak dilihat, kita ini ketandusan penyerang tunggal. Lihat saja ketika Piala AFF penyerang kita tak menjadi.

"Saya rasa bukan saya saja, seluruh peminat mahukan pemain seperti Luqman Hakim Shamsudin dan pemain muda meluaskan kuasa dan tampil lebih cemerlang.

"Kita ada flanker tapi kita tak ada 'penyerang ortodok'. Pemain sebenarnya yang tentukan hala tuju pasukan dalam permainan. Jurulatih hanya memainkan peranan merancang strategi di luar padang," katanya.

Sementara itu, Azman turut mengharapkan barisan pemain yang dipanggil mengisi tugas buat negara memberi yang terbaik untuk mengharumkan semula nama negara dan ia satu penghormatan apabila anda dipilih.

"Senarai pemain sudah diumumkan dan sekarang kita bagi ruang serta peluang kepada jurulatih untuk menilai dan bentuk pasukan supaya lebih mantap.

"Tak kisah siapa yang dipanggil kerana yang penting saya mahukan kualiti dan pemain terpilih mampu bermain bermati-matian untuk negara," katanya yang ditemui pada Majlis pelancaran koleksi digital Azman Adnan Non-Fungible Tokens (AANFT), hari ini.

AANFT bukan sekadar karya seni digital dan token malah pengumpulnya juga bakal menikmati pengalaman eksklusif bersama Azman Adnan di dunia nyata seperti sesi santai bersama Azman Adnan, kod diskaun khas untuk setiap pembelian di e-dagang MONYOK.COM, menjadi tetamu khas dalam Youtube The Azman Adnan dan banyak lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2022 @ 5:27 PM