SKUAD B-23 negara wajib melakar kemenangan dengan meledak dua gol tanpa bolos bagi memastikan tiket ke peringkat seterusnya menjadi kenyataan. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
SKUAD B-23 negara wajib melakar kemenangan dengan meledak dua gol tanpa bolos bagi memastikan tiket ke peringkat seterusnya menjadi kenyataan. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Barisan penggempur skuad bawah 23 (B-23) tahun negara dikerah untuk tampil lebih tajam dalam aksi hidup mati Kumpulan B menentang Laos di Stadium Nasional Morodok Techo di Phnom Penh, Kemboja malam esok.

Pengendali pasukan, Brad Maloney berkata, ketumpulan jentera depan ketika tewas 1-2 dalam aksi pertama di tangan Laos Jumaat lalu tidak akan berulang lagi.

Jelasnya, deretan peluang dan penguasaan yang ditampilkan anak buahnya sebelum ini harus diterjemahkan dalam bentuk jaringan bagi memastikan kemenangan besar mampu dilakar sekali gus mara ke peringkat separuh akhir.

"Sudah tentu kita jangkakan ia perlawanan yang sukar dan mereka sudah pastinya turun berbekalkan keyakinan tinggi selepas menang 1-2.

"Tapi berdasarkan permainan, kita lebih banyak menguasai perlawanan dan tempoh serta banyak mencipta peluang. Malah, saya sendiri melihat statistik perlawanan, di mana kita menguasai 60-70 peratus penguasaan bola sepanjang 90 minit aksi.

"Kita juga ada banyak sangat peluang menerusi percubaan tepat ke arah gol, tetapi masalah kita adalah untuk menterjemahkan ia kepada jaringan.

"jadi bersandarkan itu, kita perlu bijak memanfaatkan peluang di depan gawang untuk mendapatkan keputusan yang lebih positif," katanya pada sidang media secara maya hari ini.

Skuad negara wajib melakar kemenangan dengan meledak dua gol tanpa bolos bagi memastikan tiket ke peringkat seterusnya menjadi kenyataan.

Ditanya mengenai situasi terkini pasukan selepas tiga pemain dan seorang penolong jurulatihnya menjadi 'mangsa' terbaharu yang diserang Covid-19, Maloney sebaiknya tetap tenang dan menganggap ia sebahagian daripada cabaran.

"Ia memang cabaran besar buat kami dan ia bukan dalam kawalan kami, dengan situasi Covid-19 yang tak menentu ketika ini.

"Tapi kita ada pengurus yang bagus, barisan staf yang baik dan semuanya memainkan peranan masing-masing, dan kita semua mempunyai misi yang sama untuk perlawanan esok (malam ini) meraih kemenangan," katanya yang kini mempunyai 21 daripada 28 pemain yang bebas daripada Covid-19 dan kecederaan untuk perlawanan malam esok.

Semalam, kem negara menerima tamparan hebat apabila tiga pemain iaitu Abdul Hanafie Tokyo, Zainal Abidin Jamil dan T Saravanan serta penolong jurulatih, Khan Hung Meng disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian pantas antigen (ART) di hotel penginapan pasukan kelmarin.

Sebelum itu, dua pemain negara, Fahmi Daniel Zaaim dan Shafi Azswad Sapari turut dijangkiti namun setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh pada minggu lalu, namun kedua-duanya dijangka bebas daripada tempoh isolasi masing-masing hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Februari 2022 @ 9:20 PM