Pemain Bayern Munich, Kingsley Coman meraikan jaringan penyamaan berdepan Salzburg. FOTO Reuters
Pemain Bayern Munich, Kingsley Coman meraikan jaringan penyamaan berdepan Salzburg. FOTO Reuters
AFP

Salzburg, Austria: Pemain sayap Perancis, Kingsley Coman menyelamatkan maruah Bayern Munich menerusi gol penyamaan lewat ketika seri 1-1 berdepan Red Bull Salzburg dalam aksi 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah, pagi ini.

Coman meledak gol pada minit terakhir permainan untuk memadamkan kelebihan tuan rumah yang mendahului menerusi Junior Adamu pada babak pertama.

Ia sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah Bayern di tempat lawan dalam kejohanan itu sejak tahun 2017.

"Seseorang yang bukan peminat Bayern akan berkata Salzburg berhak menang hari ini, tetapi saya rasa ia keputusan yang adil," kata kapten Bayern, Thomas Mueller kepada DAZN selepas pasukannya bergelut untuk bangkit di babak kedua.

"Saya rasa amat jelas pada babak kedua kami mahu memenangi perlawanan ini. Kami tidak berada di landasan tepat buat masa ini, dan kami harus membawa mentaliti untuk menang pada setiap perlawanan," tambah rakan sepasukan, Joshua Kimmich.

Bayern tiba di Austria dengan harapan untuk bangkit daripada kekalahan kepada pasukan kerdil Bundesliga Bochum, Sabtu lalu, tetapi kepincangan pertahanan mereka berterusan di Salzburg.

Kesilapan daripada Niklas Suele memberi peluang kepada Brenden Aaronson hanya selepas beberapa minit permainan ketika Salzburg memberi tekanan kepada barisan pertahanan Bayern.

Pelawat juga memperoleh beberapa peluang namun segalanya serba tidak menjadi dan Salzburg berhak mendahului jaringan menerusi Adamu pada minit ke-21.

Penantian Bayern untuk meledak gol akhirnya tercapai menerusi Coman pada penghujung babak perlawanan selepas usaha berterusan memberi tekanan kepada barisan pertahanan lawan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Februari 2022 @ 8:58 AM