Pemain tengah Real Madrid, Luka Modric. FOTO Reuters
Pemain tengah Real Madrid, Luka Modric. FOTO Reuters
Agensi

Madrid: Pemain tengah Real Madrid, Luka Modric berkata dia berasa keadaan fizikalnya sangat baik dan berharap untuk meneruskan karier bola sepak profesional sehingga berusia 40 tahun.

Modric akan berusia 37 tahun pada September dan dengan kontrak semasa pemain Croatia di Bernabeu dijangka tamat pada penghujung Jun depan.

Perancang tengah itu sekali lagi menjadi tonggak utama skuad Los Blancos musim ini, sekali pun hanya meledak dua gol dan menghasilkan lima bantuan gol dalam 26 penampilan dalam semua kejohanan.

Real Madrid dilaporkan sudah bersetuju untuk melanjutkan kontrak baharu Modric sehingga Jun 2023 dan pemain veteran itu berkata dia mungkin mempunyai empat tahun lagi sebagai pemain.

"Saya tidak tahu bila saya akan terus bermain mungkin sehingga 40 tahun, kita lihat nanti," kata Modric kepada Marca.

"Saya harus melakukannya peringkat demi peringkat, gembira dengan apa yang saya lakukan. Saya rasa baik dalam fizikal, kerana ia sangat penting, begitu juga kekuatan mental.

"Saya berada di sebuah kelab yang besar, kelab terbaik dalam dunia tanpa ragu-ragu dan saya berusaha keras untuk memastikan prestasi berada pada tahap terbaik.

"Kita lihat berapa lama lagi, tetapi bercakap mengenai bertahun-tahun ia sukar. Saya hampir berusia 37 tahun dan jujur saya berasa sangat hebat."

Modric sudah meledak 30 gol dan mencatat 66 bantuan jaringan dalam 417 penampilan buat Real Madrid sejak perpindahan dari Tottenham Hotspur pada 2012.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Februari 2022 @ 9:32 PM