MODRIC menarik minat Inter Milan tetapi Real Madrid bersedia menawarkan gaji lebih besar kepada bintang Croatia itu. Foto Google Images
MODRIC menarik minat Inter Milan tetapi Real Madrid bersedia menawarkan gaji lebih besar kepada bintang Croatia itu. Foto Google Images
Agensi

REAL Madrid bersedia menawarkan kontrak baharu yang paling lumayan buat Luka Modric sebagai jalan untuk menamatkan minat Inter Milan mendapatkan pemain tengah itu.

Kelab gergasi Serie A menawarkan satu perjanjian lumayan terhadap bintang Croatia itu yang dikatakan mampu membuka peluangnya meninggalkan Bernabeu.

Real bagaimanapun tiada niat untuk menjual Modric, dan sanggup menaikkan gaji 138,000 pound (RM724,000) seminggu yang diterima pemain berusia 32 tahun itu, menurut laporan akhbar Sepanyol Marca.

Mereka mendakwa bekas perancang Tottenham itu mungkin menerima kenaikan gaji yang 'besar' dan bakal menjadi kontrak terbesar dalam kerjayanya.

Laporan di Itali mendakwa Modric sudah memaklumkan kepada Presiden Real, Florentino Perez yang dia mahu berhijrah ke Itali untuk mendapatkan cabaran baharu.

Namun, pengurus baharu, Julen Lopetegui yakin bintang tengah itu tidak akan berhijrah sebelum jendela perpindahan ditutup. 

“Presiden sudah memberikan jawapan, tiada apa yang saya boleh ulas lagi,” kata Lopetegui.

“Modric adalah pemain luar biasa, kami menunggu dia dengan tangan terbuka. Saya bercakap dengannya selepas Piala Dunia dan kami akan lihat jika dia boleh beraksi pada 15 Ogos (menentang Atletico Madrid dalam Piala Super Eropah), objektif besar pertama musim ini.

“Dia pemain yang saya mahukan, saya suka dia dan dia tahu. Dia akan gembira dengan cadangan yang dia terima di sini.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Ogos 2018 @ 7:49 AM