SKIL Modric dan ketajaman penyudah Benzema menjadi senjata berbisa Real Madrid dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah musim ini. FOTO AGENSI
SKIL Modric dan ketajaman penyudah Benzema menjadi senjata berbisa Real Madrid dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah musim ini. FOTO AGENSI
AFP

Madrid: Luka Modric mengemudi kebangkitan Real Madrid ketika menentang Paris Saint-Germain dan Chelsea, kini pemain berusia 36 tahun itu perlu melepasi Manchester City untuk mara ke final Liga Juara-Juara Eropah.

Hantaran tepat dan melencong Modric menerusi bahagian luar kaki kanannya memberi peluang kepada Rodrygo melakukan voli untuk menyelamatkan Real ketika mereka hampir mati dan berkubur menentang Chelsea.

Hantaran melepasi kaki Presnel Kimpembe kepada Karim Benzema menjaringkan gol memberikan nyawa ketika menyingkirkan PSG, walaupun sebelum itu perlawanan seolah-olah sudah memihak kepada kelab Perancis itu.

Skil dan kreativiti Modric bergabung dengan ketajaman sentuhan penyudah Benzema menjadi senjata utama Real Madrid untuk melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah.

Perlawanan pertama akan berlangsung di Stadium Etihad pada awal pagi Rabu ini.

Tetapi, pemain tengah Croatia itu turut memiliki jiwa pejuang dan menaikkan semangat Real dalam keadaan terdesak menerusi kemahiran, ketahanan dan kesungguhannya.

Dua minit sebelum menewaskan PSG menerusi hantaran kepada Benzema di pusingan 16 terbaik, Modric sudah melonjakkan semangat di Santiago Bernabeu dengan kakinya.

Ketika PSG mendahului 2-1 dan Lionel Messi mahu melakukan serangan balas, Modric berjaya menolak bola ke luar dan menjatuhkan Messi sebelum penting Benzema hadir dua dan empat minit kemudian.

Ketika ditanya AFP dalam temu bual pada 2019 mengenai apa yang paling digemarinya dalam bola sepak, Modric tidak menyebut menjaringkan gol, membuat hantaran atau menggelecek.

"Bentes!" jawabnya dengan yakin. "Semuanya memberikan saya kegembiraan, tetapi ada masanya bentesan memainkan peranan penting dalam perlawanan. Apabila melakukannya, memang rasa hebat."

Modric turut memiliki deria untuk mengubah perlawanan.

Dia mampu menaikkan semangat rakan sepasukan dengan bentesan atau larian dan melindungi mereka dengan hantaran serta penguasaan bola.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2022 @ 3:10 PM