Pemain Real Madrid, Luka Modric. FOTO Agensi
Pemain Real Madrid, Luka Modric. FOTO Agensi
AFP

Madrid: Pemain terbaik Real Madrid dalam tempoh tiga bulan lalu adalah pemain berusia 35 tahun yang akan tamat kontrak pada musim panas ini.

Luka Modric mungkin boleh dikatakan sebagai pemain terbaik Real Madrid musim ini selain dipilih sebagai pemain terbaik bulanan oleh penyokong kelab pada November, Disember dan Januari.

Malah dia mampu menang pada Februari juga.

Tiada siapa dalam skuad Zinedine Zidane memiliki usia lebih tua dan hanya empat pemain bermain lebih banyak pada musim 2020/21, seorang daripadanya ialah penjaga gol, Thibaut Courtois.

Modric berkongsi kedudukan ketiga senarai penjaring terbanyak kelab dan lima bantuan jaringan.

Perbandingan boleh dibuat antara Modric dengan Frenkie de Jong di Barcelona, seorang lagi pemain tengah yang 12 tahun lebih muda selain mengharungi musim yang hebat.

Modric menggelecek lebih banyak daripada De Jong, lebih banyak dikasari, memintas lebih banyak bola, lebih cubaan, halangan dan menjaringkan jumlah gol yang sama.

"Saya mempunyai keinginan sama untuk bermain, bersaing merebut tempat, dan mahu menunjukkan bahawa usia bukan masalah," kata Modric.

"Apa yang penting adalah bagaimana anda bermain di padang dan saya harap mampu kekal pada tahap ini untuk tempoh lebih lama."

Kontrak Modric dijangka tamat pada penghujung Jun ini dan beberapa laporan mendakwa kontrak setahun lanjutan sudah dipersetujui kedua-dua pihak namun belum ada kenyataan rasmi.

"Pasti hebat jika saya mengakhiri karier di kelab dan bandar yang hebat ini. Tetapi ia bukan keputusan saya. Ia terpulang kepada Real Madrid, mereka yang membuat keputusan." kata Modric.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2021 @ 12:37 PM