PERLIS United bakal bertemu Manjung City malam ini. FOTO Perlis United
PERLIS United bakal bertemu Manjung City malam ini. FOTO Perlis United
Aizat Sharif


Kangar: Pemain kelab Liga Malaysia Divisyen Tiga (M3), Perlis United FC diingatkan menjadikan perlawanan persahabatan terakhir menentang Manjung City FC malam ini sebagai aksi sebenar Liga M3 menjelang sepak mula liga itu pada 12 Februari hadapan.

Pengendalinya, Azizul Abidin menuntut pemainnya untuk memberikan komitmen sepenuhnya dengan menganggap perlawanan persahabatan berkenaan umpama perlawanan sebenar.

"Pemain kita begitu bermotivasi tinggi pada waktu ini terutama dalam persiapan menghadapi perlawanan pertama Liga M3 menetang Real Chukai FC pada minggu hadapan.

"Malah saya juga sudah ingatkan kepada mereka agar jadikan perlawanan menentang Manjung City FC umpama saingan liga sebenar dan perlawanan itu juga bukan lagi medan pendedahan kerana pemain Perlis United FC kini sepatutnya sudah sampai ke momentum perlawanan sebenar," katanya ketika ditemui di Stadium Tuanku Syed Putra (STSP), di sini hari ini.

Katanya, pemainnya diharap dapat terus mengekalkan aksi konsisten dalam permainan selain kecergasan.

"Jika perlawanan persahabatan pertama (menentang Bukit Tambun FC), kita banyak membuat penggantian pemain menerusi posisi dan untuk perlawanan kali ini kita sudah pun melakukan beberapa perubahan serta pembaikan dari segi taktikal dan strategi.

"Walaupun kita masih mempunyai ruang enam hari lagi sebelum perlawanan pertama melawan Real Chukai FC, namun pemain seharusnya sudah bersedia dalam segala aspek permainan termasuk juga mental.

"Namun apa yang sudah direncana sebelum ini termasuk dari segi taktikal serangan, barisan tengah serta pertahanan kini hanya tinggal untuk diterjemahkan ke dalam perlawanan malam ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Februari 2022 @ 1:37 PM