Penyerang Mesir, Mohamed Salah (tengah) meraikan jaringannya ketika berdepan Maghribi dalam saingan Piala Negara Afrika. FOTO AFP
Penyerang Mesir, Mohamed Salah (tengah) meraikan jaringannya ketika berdepan Maghribi dalam saingan Piala Negara Afrika. FOTO AFP
AFP

Yaounde, Cameroon: Mohamed Salah menyinar ketika Mesir ke separuh akhir Piala Negara Afrika dan Senegal menyertai mereka daplam kelompok empat terakhir kejohanan benua itu, pagi ini.

Terdahulu, Mesir bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Maghribi 2-1 pada masa tambahan sementara Senegal mengatasi Equatorial Guinea 3-1.

Maghribi mendahului di awal permainan menerusi penalti yang disempurnakan Sofiane Boufal sebelum kapten Mesir, Salah menyamakan kedudukan pada babak kedua selepas tandukan Mohamed Abdelmonem diselamatkan.

Penjaga gol Mesir, Mohamed Abou Gabal berjaya menyelamatkan percubaan lewat Nayef Aguerd menerusi tandukan ketika perlawanan terpaksa dilanjutkan pada masa tambahan dan juara tujuh kali kejuaraan itu berjaya memenangi perlawanan pada minit ke-100.

Salah berjaya mencipta ruang di sebelah kanan dan mengumpan bola ke gawang gol sebelum berjaya disudahkan dengan baik oleh Mahmoud Trezeguet.

"Impian kami adalah untuk membuatkan masyarakat di Mesir gembira," kata Salah sementara jurulatihnya, Carlos Queiroz menafikan skuad Pharaohs bergantung kepada bintang mereka.

"Saya bersetuju bahawa pemain terbaik perlu membuktikan kebolehan mereka tetapi tanpa pasukan yang kita lihat dalam permainan di padang hari ini tidak mustahil untuk memenangi perlawanan," katanya.

Konfederasi Bolasepak Afrika membenarkan Stadium Olembe dekat Yaounde menjadi venue separuh akhir pada 3 Februari membabitkan tuan rumah Cameroon berdepan Mesir dan aksi final pada 6 Februari selepas menggantung sementara venue di mana insiden rempuhan berlaku sehingga menyebabkan lapan kematian termasuk kanak-kanak pada 24 Januari lalu.

Pemain Senegal, Ismaila Sarr (kiri) dikawal pemain pertahanan Equatorial Guinea dalam aksi suku akhir di Yaounde. FOTO AFP
Pemain Senegal, Ismaila Sarr (kiri) dikawal pemain pertahanan Equatorial Guinea dalam aksi suku akhir di Yaounde. FOTO AFP

Sementara itu, rakan sepasukan Salah di Liverpool, Sadio Mane mencipta gerakan untuk gol pembukaan buat Famara Diedhiou ketika Senegal berdepan Equatorial Guinea pada aksi lapan terakhir.

Bagaimanapun lawan bangkit menyamakan kedudukan menerusi Jannick Buyla pada awal babak kedua.

Sebelum pemain gantian Cheikhou Kouyate dan Ismaila Sarr kedua-duanya menemui sentuhan gol untuk memastikan Senegal tempat ke separuh akhir dan akan berdepan Burkina Faso pada Rabu di Stadium Ahmadou Ahidjo dekat Cameroon.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 January 2022 @ 7:15 AM